‘Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih’ merupakan karya terbaharu arahan Benni Setiawan yang sebelum ini terkenal dengan siri Layangan Putus.
Artikel Berkaitan: ‘Belum Masanya Untuk Saya Berkahwin’ – Tissa Biani
Artikel Berkaitan: Anak Ahmad Dhani Lamar Kekasih Di Itali, Fazura Tumpang Gembira – ‘MasyaAllah, Congratulations You Two’
‘Cina buta’

Filem ini menampilkan sebuah drama percintaan serta isu rumah tangga yang dekat dengan masyarakat, iaitu ‘cina buta’.
Hasil tulisan Garin Nugroho (Opera Jawa & Samsara), karya ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menggambarkan realiti yang berlaku dalam sesebuah perkahwinan.
Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih mengisahkan dilema rumah tangga antara Alfa lakonan Mikha Tambayong dan Darian dilakonkan oleh Kevin Ardilova, yang terpaksa berdepan kesan daripada talak tiga. Penonton akan dibawa menyelami gejolak cinta, perasaan cemburu dan peraturan yang sukar dielakkan.
Kisah mereka menjadi lebih rumit apabila keluarga mahu mereka kembali rujuk. Namun, syarat agama menetapkan bahawa Alfa perlu berkahwin terlebih dahulu sebelum boleh kembali kepada bekas suaminya.
Bagi memenuhi syarat rujuk tersebut, muncul watak Zainun (Ibrahim Risyad) yang bersedia menjadi suami kepada Alfa. Perkahwinan antara Alfa dan Zainun akhirnya berlangsung. Namun, status perkahwinan kedua ini membuka lembaran baharu dalam kehidupan Alfa.
Rancangan kacau bilau

Rancangan yang pada awalnya kelihatan sempurna mula menjadi kacau-bilau apabila Darian dilanda rasa cemburu dan mula bimbang akan Alfa. Disebabkan perasaan cemburu itu, Darian sering ingin mencampuri urusan rumah tangga Alfa dan Zainun, sekali gus menambah lagi konflik.
Tambahan pula, watak Zainun digambarkan sebagai seorang suami idaman iaitu mempunyai rupa paras kacak, menyayangi keluarga serta memiliki ilmu agama yang tinggi.
Kehadiran Zainun menimbulkan persoalan besar haruskah Alfa kembali kepada cinta lama yang penuh luka, atau membina masa depan bersama lelaki baharu yang memberikan harapan?
Dalam masa yang sama, Darian juga bertemu dengan seorang gadis cantik, Intan (Tissa Biani), pemilik sebuah kedai botol kaca antik, yang turut memberikannya harapan dalam soal cinta.
Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih, sebuah filem terbitan Soex Entertainment, akan diedarkan oleh Horizon Film Entertainment sejak 2 Oktober di pawagam seluruh Malaysia.
The post Filem ‘Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih’ Bongkar Realiti ‘Cina Buta’ first appeared on OHBULAN!.