Rotan ialah alat.
Ia tidak berdosa dan tidak pula suci. Sama seperti pisau, rotan boleh digunakan untuk memotong sayur atau membunuh manusia; sama seperti telefon bimbit, ia boleh menyebarkan ilmu atau menyemai fitnah. Segalanya bergantung pada siapa yang menggenggamnya dan apa niat di hati yang memegangnya.
Alat tidak pernah bersalah kerana manusialah yang menentukan nilai dan akibat penggunaannya. Maka apabila kita berbicara tentang rotan, kita tidak sedang berbicara tentang sebatang kayu, tetapi tentang akal budi dan adab manusia yang menggunakannya.
Rotan dalam konteks pendidikan Islam
Dalam Islam, konsep ta’dib, mendidik dengan adab sangat diutamakan. Rotan disebut dalam tradisi Islam bukan sebagai lambang kekerasan, tetapi sebagai jalan terakhir dalam mendidik, apabila nasihat dan teguran gagal. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah memukul kanak-kanak, tetapi Baginda tidak melarang penggunaan hukuman fizikal yang ringan apabila niatnya mendidik dan caranya beradab.
Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali menulis bahawa rotan bukan untuk menyakiti tubuh, tetapi untuk menggerakkan hati yang lalai. Islam menetapkan kaedah yang ketat — tidak boleh dirotan di muka, tidak boleh melebihi kadar tertentu, dan tidak boleh dilakukan dalam keadaan marah. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak menghalalkan penderaan, tetapi membenarkan disiplin yang berhikmah.
Jika masyarakat memahami falsafah ini, rotan tidak akan dilihat sebagai kezaliman, tetapi sebagai simbol tanggungjawab moral seorang pendidik terhadap anak bangsanya.
Rotan dalam sejarah dan tamadun
Sebelum dunia menjadi terlalu sentimental terhadap istilah “hak asasi”, rotan pernah menjadi tonggak pembentukan akhlak masyarakat.
Pada zaman 1960-an hingga 1980-an, rotan tergantung di dinding sekolah dan rumah yang tidak selalu digunakan, tetapi kewujudannya cukup untuk membentuk rasa hormat dan disiplin. Anak-anak tahu, di sebalik lembut tangan ibu dan tegas suara guru, ada satu alat yang menjadi simbol peringatan.
Saya masih teringat bagaimana ibu bapa pada zaman dahulu menyerahkan sebatang rotan kepada guru besar dengan pesan, “Gunakanlah jika anakku melampaui batas.” Itu bukan tanda kezaliman, tetapi tanda kepercayaan bahawa guru diamanahkan bukan hanya untuk mengajar, tetapi juga untuk mendidik jiwa.
Namun kini, suasana berubah. Dunia moden — khususnya di negara-negara maju — mula menolak sebarang bentuk hukuman fizikal, walaupun ringan. Di Sweden, hukuman badan di sekolah diharamkan sejak tahun 1979; di Kanada, United Kingdom, dan New Zealand, undang-undang serupa diikuti. Alasan mereka mudah: kononnya rotan merosakkan psikologi kanak-kanak.
Tetapi hasil kajian global menunjukkan bahawa tiada satu pendekatan tunggal yang sesuai untuk semua budaya.
Di Jepun dan Korea Selatan, meskipun hukuman fizikal rasmi di sekolah sudah berkurangan, konsep disiplin ketat masih wujud — melalui kerja berpasukan, penghormatan kepada guru, dan rasa malu sebagai bentuk pengawalan diri.
Di beberapa negara Timur Tengah pula, rotan masih digunakan secara terkawal dalam sekolah agama, berpandukan garis panduan Islam.
Di Malaysia, isu rotan menjadi perdebatan moral: antara mereka yang melihatnya sebagai “alat pendidikan tradisional” dan mereka yang menganggapnya “peninggalan zaman feudal”. Golongan pertengahan moden — khususnya T20 dan M40 — semakin takut kepada rotan, bukan kerana mereka difahamkan tentang bahaya, tetapi kerana mereka tidak mahu anak-anak mereka diingatkan tentang batas. Pada mereka, anak ialah cerminan status — dan apabila anak dirotan, ego merekalah yang terasa.
Saya menyebut fenomena ini sebagai “Sindrom Rasa Dirotan” — yang jiwa ibu bapa lebih tersinggung daripada anak yang menerima hukuman.
Rotan dan disiplin global
Kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tahun 2023 menunjukkan bahawa negara-negara yang berjaya menyeimbangkan kasih sayang dan disiplin — seperti Finland dan Singapura — pendekatan terhadap hukuman fizikal bukanlah pengharaman total, tetapi penggantian dengan kaedah yang mengekalkan ketegasan tanpa kekerasan.
Namun, negara-negara ini juga mempunyai sistem pendidikan yang sangat berstruktur, dengan pengawasan rapat dan sokongan emosi yang tinggi.
Masalahnya di Malaysia ialah kita meminjam idea pengharaman rotan tanpa membangunkan ekosistem pengganti yang cukup kuat. Kita menolak rotan, tetapi kita tidak menggantinya dengan disiplin yang lain. Hasilnya: pelajar bebas tanpa batas, guru takut menegur, ibu bapa lebih cepat menuduh daripada memahami.
Apabila disiplin menjadi longgar, rotan bukan lagi alat, tetapi kenangan.
Dan kenangan itu membawa kita kembali kepada satu soalan asas: apakah tujuan sebenar pendidikan?
Apabila seseorang dirotan kerana kesalahan disiplin, fokus tidak seharusnya pada rotan, tetapi pada perbuatan yang menuntut hukuman itu. Sama seperti doktor yang menggunakan pisau pembezahan — tujuannya bukan menyakiti, tetapi menyembuhkan.
Jika rotan digunakan dengan hikmah, ia menjadi ubat yang pahit tetapi mujarab. Jika disalahgunakan, ia menjadi racun yang membunuh rasa percaya antara guru dan murid.
Oleh itu, perbincangan tentang rotan bukanlah perbincangan tentang kekerasan, tetapi tentang etika dan keseimbangan kuasa.
Yang tidak berakhlak akan menyalahgunakannya; yang beradab akan memanfaatkannya sebagai jalan mendidik.
Rotan dalam psikologi dan sosiologi
Dari sudut psikologi, hukuman fizikal yang ringan dan disertai penjelasan boleh membantu membentuk kesedaran moral — terutamanya pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Kajian oleh University of Singapore (2022) mendapati bahawa murid yang mendapat didikan disiplin berasaskan nilai dan hukuman terkawal menunjukkan tingkah laku lebih bertanggungjawab dan empati lebih tinggi pada usia remaja.
Namun apabila rotan digunakan tanpa kasih, tanpa penjelasan, tanpa doa, ia berubah menjadi trauma. Maka asasnya bukan pada rotan itu sendiri, tetapi pada roh pendidikan yang mengiringinya.
Kini, pada usia 60 tahun, saya melihat kehidupan semakin singkat, dan dunia pendidikan semakin panjang pertikaiannya. Saya tidak menyembah rotan, tetapi saya juga tidak membencinya. Saya melihatnya sebagai alat hikmah, yang digunakan dengan adab dan niat mendidik.
Rotan bukan untuk digunakan setiap masa, bukan untuk menyalurkan marah, tetapi untuk menyedarkan jiwa yang lalai.
Ia bukan lambang kekerasan, tetapi lambang tanggungjawab — guru terhadap murid, ibu bapa terhadap anak, dan masyarakat terhadap moral bangsanya.
Kita tidak perlukan sekolah tanpa rotan, kita perlukan sekolah tanpa kezaliman.
Kita tidak perlukan guru tanpa kuasa, kita perlukan guru yang berjiwa besar dan berhikmah.
Selagi manusia punya akhlak, rotan akan tetap menjadi alat yang hidup dalam jiwa pendidikan, bukan pada tangan yang menghukum, tetapi pada niat yang mendidik.
Dan pada dinding rumah rakan, sebatang rotan masih tergantung — bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai ingatan bahawa disiplin adalah kasih sayang yang tegas, dan kasih sayang yang sebenar tidak pernah lembik di hadapan kebenaran.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





