ULASAN | “Parti Bersatu sedang mensia-siakan peluang untuk memimpin gerakan rakyat.”
Ungkapan ini mungkin kedengaran keras, tetapi sebenarnya tidak berlebihan. Bagi sesiapa yang mengikuti perjalanan parti ini pasca PRU15, ia bukan lagi hipotesis politik, tetapi realiti yang semakin nyata.
Situasi hari ini bukan lagi teka-teki, bukan juga ramalan. Ia adalah gejala nyata — pendedahan tentang bagaimana sebuah parti yang pernah menjadi harapan besar untuk rakyat, kini tenggelam dalam lumpur ego yang tidak berkesudahan.
Dongeng dan temberang politik
Apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan tampil menjelaskan isi kandungan akuan berkanun (SD) yang sebenarnya untuk menghentikan usul pencalonan perdana menteri yang dibuat secara terbuka di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), di situlah terbongkarnya pembohongan naratif politik songsang ini.
Dan selepas usul tersebut diangkat oleh Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail, ternyata ia mendapat maklum balas yang sudah dijangka iaitu respons yang sangat negatif dari rakan komponen Perikatan Nasional (PN). Malah, usul tersebut turut menjadi bahan jenaka parti lawan dan rakyat sendiri.
Naratif SD yang dikatakan untuk jatuhkan presiden, ternyata sebuah naratif dongeng oleh ahli politik terdesak yang cuba menutup kelemahan diri dengan mencipta musuh dalam kalangan rakan politik. Inilah naratif dongeng yang menjebak Bersatu ke dalam politik sia-sia.
Apabila kekuatan idea sudah tiada, apabila idealisme mati, yang dijual hanyalah kisah dongeng. Apabila ego menguasai diri, maka dicipta naratif palsu untuk menutup naratif sebenar; dicipta musuh baru untuk menutup pekung sendiri.
Naratif palsu ini juga menjadi satu manifestasi Bersatu telah hilang arah dek kelemahan nakhoda kepimpinannya sendiri.
Kita dah kecewa dengan hipokrasi politik reformasi; kini kita dikecewakan lagi dengan politik palsu mereka yang ego dan gila kuasa.

Kelebihan yang disia-siakan
Ironinya, Bersatu sebenarnya memiliki tonik politik yang besar. PRU15 menunjukkan parti ini masih mengekalkan pengaruhnya di kalangan pengundi Melayu. Sedangkan PH dan Anwar, hingga hari ini terus terkapai-kapai untuk membina pengaruh dikalangan Melayu.
Namun kelebihan ini disia-siakan. Tiada usaha bersungguh untuk membina naratif rakyat. Tiada gagasan besar untuk menggantikan kekecewaan terhadap kerajaan Madani dengan solusi baru.
Sebaliknya, masa dihabiskan untuk menilai kesetiaan seseorang kepada tuan politik dengan menyemai syak wasangka dan permusuhan.
Bersatu bukan sedang dibaham harimau, tetapi sedang dimakan anai-anai pada pangkal dahan.
Dan jika pangkal dahan ini tidak dipotong, seluruh pokok akhirnya akan rebah tersembam. Akar yang masih hidup seharusnya diberi ruang menumbuhkan batang dan dahan yang baru kerana itulah hukum alam.
Peringatan daripada sejarah
Kenyataan bahawa “Bersatu sedang mensia-siakan peluang untuk memimpin gerakan rakyat” bukan sekadar kritikan, tetapi peringatan daripada peristiwa yang sedang berlaku di depan mata kita.
Keyakinan rakyat kepada kerajaan Madani semakin longgar, tetapi Bersatu pula tidak menunjukkan tanda-tanda ia bersedia menggantikan PH.
Jika budaya songsang dan naratif dongeng terus dibiarkan, maka parti ini bukan sekadar kehilangan peluang — tetapi ia sedang menulis babak kejatuhannya sendiri, semua ini kerana kita terus menipu diri sendiri.
MAHDZIR IBRAHIM merupakan ahli Bersatu Bahagian Bangi
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.