Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilihat menari di permaidani merah sebaik sahaja ketibaannya di Malaysia.
Sekumpulan penari ketika itu membuat persembahan di luar Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai sebahagian daripada sambutan selamat datang yang disediakan untuk Trump.
Berpakaian sut biru dengan tali leher merah, Trump menyertai kumpulan penari itu selepas turun dari Air Force One.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berada di sana untuk menyambut Trump, dilihat terhibur dengan gelagat presiden AS itu, sambil turut serta menggerak-gerakkan badan mengikut tariannya.
Ini berlaku walaupun terdapat kritikan hebat terhadap ketibaan Trump untuk sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur, dengan ramai yang mengutuk penglibatan AS dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.
Beberapa pihak, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Anwar untuk membatalkan jemputan pada Trump untuk menghadiri sidang kemuncak Asean memandangkan perkara ini.
Pada 21 Okt, Anwar berkata dia akan bercakap dengan Trump tentang situasi di Gaza, selain isu-isu penting yang lain.
Selain Anwar, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hadir untuk menyambut Trump.
Trump mendarat di Sepang sekitar jam 10 pagi, selepas penerbangan dari Washington.





