Tindakan Malaysia mengetatkan kelayakan agensi pembekal pekerja asing ke negara ini mencetuskan rasuah di Nepal, yang terkenal sebagai negara pembekal anggota keselamatan.
Sumber dari Nepal memberitahu Malaysiakini, tindakan Malaysia memperkenalkan “10 kriteria wajib” mencetuskan panik dalam kalangan agensi negara itu.
Katanya, pemain industri itu di Nepal bimbang hilang akses terhadap pasaran buruh Malaysia, antara destinasi utama bagi tenaga kerja Nepal.
"Sebaik sahaja surat dari Kerajaan Malaysia itu keluar, beberapa individu di Nepal mula menawarkan ‘bantuan’ untuk mendapat kelulusan.
"Mereka mendakwa ada hubungan langsung dengan pihak tertentu di Malaysia. Ramai yang terdesak, lalu membayar," kata sumber itu yang enggan dinamakan kerana bimbang keselamatannya terancam.
Menurut sumber, sekurang-kurangnya lima agensi di Nepal membayar antara RM1 juta hingga RM1.5 juta kepada sindiket yang didakwa mempunyai "hubungan rapat" dengan individu yang boleh mempengaruhi kelulusan kuota pekerja ke Malaysia.
Malaysiakini telah mengenal pasti syarikat-syarikat itu dan telah menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan.
Terdahulu, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) menetapkan 10 kriteria wajib untuk agensi luar negara membekalkan pekerja ke Malaysia.
KLN pada 27 Okt menghantar surat kepada kedutaan negara-negara sumber (negara layak menghantar pekerja asing) dan meminta kerajaan masing-masing menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat itu selewat-lewatnya pada 15 Nov.
Antara syarat yang dianggap sebagai kontroversi ialah agensi yang ingin menghantar pekerja asing ke Malaysia perlu mempunyai pengalaman mengurus sekurang-kurangnya 3,000 pekerja dalam lima tahun dan menempatkan pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara.
Malaysiakini telah melihat sendiri surat berkenaan.

Syarat lain yang ditetapkan ialah perlu mempunyai testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa, memiliki pejabat tetap besar (10,000 kaki persegi) yang beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai pusat latihan sendiri.
Bagaimanapun, dua persatuan antarabangsa mengecam syarat baru kerajaan Malaysia bagi pengambilan pekerja asing, yang disifatkan tidak realistik, tidak adil dan berpotensi menghidupkan semula “sindiket”.
Hasil kutipan dihantar ke India
Sebelum ini, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Bangladesh (Baira) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) berkata 10 kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Luar Negeri "mustahil" dipenuhi.
Kedua-dua persatuan turut mendakwa syarat itu hanya helah untuk mengawal pasaran dan menyingkirkan agensi baru, selain beberapa individu di Malaysia menjadi “dalang” di sebalik cubaan menghidupkan semula sistem sindiket.
Sementara itu, satu lagi sumber Nepal berkata sindiket sudah mengumpulkan lebih RM6 juta hasil daripada bayaran pendahuluan beberapa agensi yang ingin memastikan nama mereka tidak digugurkan daripada senarai yang diluluskan Malaysia.
"Hasil kutipannya telah dihantar ke beberapa akaun bank tertentu di India," katanya.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama ejen yang kutip bayaran dari India kerana masih menunggu komen daripadanya.
Sumber berkata, sebahagian agensi di Nepal berdepan tekanan hebat–mematuhi syarat ketat Malaysia serta mereka berhadapan dengan ejen yang mendakwa mampu "menguruskan" proses tersebut dengan bayaran tertentu.
Sementara itu, ketika dihubungi Naib presiden Kanan Nafea Sujith Kumar Shrestha mengesahkan kewujudan sindiket cuba mengaut keuntungan selepas surat daripada kerajaan Malaysia.
Dia turut menuntut siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan ini, termasuk meneliti kemungkinan adanya pihak di Malaysia yang bersekongkol dalam sindiket berkenaan.
"Ini bukan lagi isu pentadbiran, ini rasuah rentas sempadan," katanya.
Demo di Nepal
Sementara itu, semalam Nafea mengadakan satu himpunan mendesak kerajaan Nepal membantah syarat kerajaan Malaysia.


"Lebih 100 agensi pekerja asing dari seluruh negara (Nepal) mengambil bahagian.
"Matlamat kami no syndicate (tolak sindiket). Buat masa ini, pekerja di Nepal membayar hampir RM13,000 untuk ke Malaysia. Jika syarat baru ini dilaksanakan bayarannya akan naik lagi.
"Jika, kerajaan Malaysia masih nak melaksanakan sistem sindiket ini kemudian majoriti syarikat tenaga kerja dan pemegang lesen bersedia untuk menyerahkan lesen kepada kerajaan," kata Sujith lagi.
Sebelum ini, KLN menjelaskan bahawa sebarang persoalan berhubung kriteria dan dasar pengambilan pekerja asing perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) selaku kementerian peneraju dalam hal tersebut.





