Akhbar Sin Chew Daily mengumumkan telah menjalankan siasatan dalaman berhubung kesilapan melibatkan Jalur Gemilang dan individu yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan tatatertib.
Dalam kenyataan petang ini, Sin Chew tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bentuk tindakan tersebut namun memaklumkan jabatan editorialnya memperketat prosedur semakan dalaman, khususnya melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Kami berikrar untuk lebih berhati-hati dan peka dalam menangani perkara yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” kata akhbar itu.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur akhbar berbahasa Cina itu atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Baginda bertitah pihak pengurusan dan editor Sin Chew sepatutnya lebih teliti dalam menyemak bahan sebelum diterbitkan.
Teguran diraja itu dibuat susulan edisi Selasa lalu yang memaparkan ilustrasi muka depan sebuah jong dengan bendera Malaysia dan China bersempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini.
Namun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai simbol bulan sabit.
Sin Chew kemudiannya memohon maaf, menyifatkan kesilapan itu sebagai “ralat teknikal”.
Ilustrasi tersebut telah dibetulkan dalam versi digital dan diterbitkan semula dalam versi cetakan hari ini.
Akhbar itu turut menyatakan pihak pengurusannya menerima sepenuhnya nasihat Sultan Ibrahim berhubung perkara itu.
[Baca berita asal]