Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya telah memanggil Kuasa Usaha Israel di Sepanyol susulan serangan terhadap flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud yang menuju ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Bercakap kepada penyiar Sepanyol RTVE, Albares berkata Kuasa Usaha Israel di Sepanyol Dana Erlich, telah dipanggil bagi menyampaikan kecaman kerajaan terhadap insiden berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa perkara mendesak ialah memastikan "keselamatan fizikal dan hak" warganegara Sepanyol yang berada di atas flotila berkenaan dihormati selepas mereka "ditahan" oleh Israel.
Albares menambah bahawa mereka di atas kapal flotila itu "tidak dan tidak pernah mewakili sebarang ancaman kepada Israel atau sesiapa sahaja," kerana "satu-satunya tujuan mereka adalah kemanusiaan," sambil menekankan bahawa mereka tidak seharusnya dituduh atas "apa-apa sekalipun."

Beliau turut mendedahkan seramai 65 warganegara Sepanyol berada di atas flotila itu, namun menekankan bahawa pihaknya belum mempunyai data khusus mengenai bilangan yang ditahan.
Pasukan tentera laut Israel menyerang flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung dan menahan 317 aktivis di atas kapal, kata penganjur pada Khamis.
Aktivis di atas kapal yang diserang Israel itu terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan, termasuk Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain, Perancis dan ramai lagi.
Kementerian Luar Israel melalui syarikat media sosial Amerika Syarikat X berkata aktivis yang ditahan itu sedang dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel, iaitu mereka akan dideportasi ke Eropah.
Penjejak rasmi flotila menunjukkan 21 kapal telah diserang oleh pasukan Israel, dengan 23 kapal lagi sedang dalam perjalanan ke Gaza.