30.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 8, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Saksi sahkan bekas setpol Hamzah tandatangan surat sokong Nexuscorp

    Shopee Sale

    Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad telah menandatangani surat iringan bagi menyokong syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd agar dianugerahkan kontrak membekalkan Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Bekas Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Teknikal Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Esther Douglas Udam berkata surat iringan tersebut daripada Sayed Amir Muzzakkir kepada Ketua Setiausaha (KSU) KDN Datuk Jamil Rakon ketika itu, yang bertarikh 29 April 2020.

    "Merujuk kepada surat iringan ini, ia ditandatangani oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri iaitu Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad ketika itu.

    "Tujuan surat itu adalah untuk menyampaikan surat Nexuscorp Group Sdn Bhd yang memohon pertimbangan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (ketika itu) bagi memberi sokongan agar syarikat terbabit diberi kepercayaan untuk dianugerahkan kontrak pembekalan terbabit melalui kaedah tender terbuka yang disertai," katanya.

    Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir, 42, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.

    Esther, yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan, berkata surat iringan Sayed Amir Muzzakkir bertarikh 29 April 2020 dan surat Nexuscorp Group bagi tender terbuka prakelayakan kontrak tersebut bertarikh 23 April 2020, juga ditandatangani oleh Pengarah Nexuscorp Group iaitu Wan Azhar Mohamed Yusof.

    "Tujuan surat itu adalah untuk memohon pertimbangan daripada Hamzah bagi memberi sokongan agar Nexuscorp Group diberi kepercayaan untuk dianugerahkan kontrak ini melalui kaedah tender terbuka yang disertai. Saya mengesahkan bahawa terdapat arahan dan tandatangan daripada Hamzah kepada Datuk KSU (Jamil) untuk pertimbangan," katanya.

    Esther berkata semasa Mesyuarat Lembaga Perolehan pada 17 Sept 2020, Lembaga Perolehan KDN bersetuju memperakukan tawaran daripada syarikat Nexuscorp Group bagi kontrak pembekalan tersebut dengan jumlah tawaran RM381,112,042.44 dan perakuan tersebut akan dikemukakan untuk dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan.

    MENARIK:  KPM zahir takziah pelajar temui ajal ketika rentas desa

    Sementara itu, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R Harshini, 35, yang merupakan saksi pendakwaan ketujuh berkata merujuk kepada profil semasa perniagaan syarikat Nexuscorp Group, Wan Azhar dan Ismuni Johari adalah pengarah syarikat terbabit.

    "Pemegang saham dalam syarikat Nexuscorp Group adalah Ismuni Johari sebanyak RM4,025,000 dan Wan Azhar Mohamed Yusof juga sebanyak RM4,025,000," katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi, Fatin Farhana Ismail dan Atirah Mohd Azuarizanuddin dan manakala tertuduh diwakili peguam Md Yunos Shariff dan Asmadi Hussin.

    Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar selaku Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd.

    Wang itu didakwa sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastuktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pada 4 petang, 4 Dis 2020 dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

    Sayed Amir Muzzakkir juga menghadapi pertuduhan meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam pada 4 petang awal Disember 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 10 Nov ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah