Ahli Parlimen DAP RSN Rayer menyoal sikap berdiam diri pembangkang berhubung tindakan beberapa peserta mengibarkan bendera Israel dalam acara solidariti pro-Palestin di Sungai Kelantan minggu lalu — insiden yang mengundang kecaman luas netizen.
Ahli Parlimen Jelutong itu menegaskan wujudnya sikap “double standard” daripada pihak pembangkang dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang mempamerkan bendera Israel pada acara 10 Oktober itu.
“Senyap sunyi suara dari pihak pembangkang. Di mana PAS? Di mana Bersatu? Kenapa diam? Adakah kerana ia berlaku di Kelantan?
“Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Bayangkan jika ia berlaku di Pulau Pinang,” katanya — merujuk kepada insiden Ogos lalu apabila sayap pemuda Umno dan Bersatu mengadakan protes terhadap seorang peniaga yang tersilap menggantung Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang.
“Kenapa wujud double standard? Mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang mengibarkan bendera Israel di Sungai Kelantan sehingga kini? Pihak berkuasa mesti bertindak segera. Tiada double standard,” tambahnya lagi pada hantaran di media sosial.
Pada Jumaat lalu, program “500 Bot Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” yang dianjurkan bersama Komuniti Pasar Terapung Sri Tanjung dan pelbagai NGO, menghimpunkan lebih 10,000 peserta termasuk nelayan, pemilik bot dan orang awam.
Namun, beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa bot mengibarkan bendera Israel, yang kemudiannya mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan netizen.
Penganjur acara itu kemudiannya menjelaskan bahawa bendera Israel dikibarkan “sekadar gimik” bagi mempersembahkan semula suasana ancaman yang dihadapi sukarelawan Global Sumud Flotilla ketika berdepan pihak berkuasa Israel.
Jurucakap Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia, Khairul Hafiz Hassan menjelaskan ia hanyalah satu “simulasi” tanpa niat untuk menghina mana-mana pihak.
"Jangan hanya menilai dengan melihat keratan video yang dikongsi di media sosial. Kebanyakan yang memberi komen negatif adalah mereka yang tidak hadir ke lokasi pada hari berlangsungnya program.
"Mereka yang hadir tahu apa sebenarnya berlaku. Bendera Israel dikibarkan adalah untuk melakonkan suasana yang berlaku kepada sukarelawan semasa misi menghantar bantuan kepada rakyat Palestin," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla disertai kira-kira 150 aktivis dari 25 negara dengan menaiki sembilan kapal, yang telah dipintas oleh tentera Israel minggu lalu ketika mereka berada kurang 120 batu nautika dari Gaza.
Sukarelawan Malaysia dalam misi itu dilaporkan selamat pulang selepas ditahan dan mengalami penderaan seperti mata ditutup, tangan digari ketat, pakaian tidak mencukupi, serta layanan kasar sebelum akhirnya diusir.
Pada Jumaat, Kementerian Luar mengumumkan sembilan sukarelawan Malaysia daripada misi kemanusiaan itu telah dibebaskan dan dibawa keluar dari Israel. Mereka kini menjalani pemeriksaan perubatan di Turkiye sebelum diterbangkan pulang ke Malaysia.
[Baca berita asal]