Hampir 300 penduduk Bukit Damansara — termasuk bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes — berhimpun minggu lalu bagi membantah rancangan pembangunan semula bangunan Wisma Damansara di Jalan Semantan.
Mereka mendakwa projek itu akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas dan mengubah “watak pinggir bandar” kawasan tersebut.
Namun, peranancang bandar berpendapat bantahan itu menunjukkan sikap “double standard” dengan mengatakan isu pembangunan tidak lestari di Kuala Lumpur wajar dibincangkan, tetapi tidak seharusnya terhad kepada kawasan mewah sahaja.
Pakar menegaskan, kebimbangan yang dibangkitkan bukan terhad kepada Bukit Damansara sahaja dan boleh ditangani melalui peranancangan mampan, penglibatan komuniti, serta penambahbaikan pengangkutan awam.
“Dengan satu per empat rakyat Malaysia tinggal di Lembah Klang, kawasan ini berdepan cabaran besar seperti penggunaan tenaga yang tinggi dan kesesakan lalu lintas. Perluasan bandar tanpa kawalan kekal sebagai antara masalah utama peranancangan bandar di Malaysia, dengan Lembah Klang menjadi penyumbang utamanya,” kata penyelidik dasar bandar dan pengangkutan ISIS Malaysia, Ahmad Farhan.
Dia berkata, usaha membangunkan semula bangunan seperti Wisma Damansara adalah baik tetapi pembangunan perlu dilakukan secara menyeluruh mengikut garis panduan peranancangan tempatan dan nisbah plot tanah.

Katanya lagi, walaupun pembangunan bandar yang padat dapat menggalakkan penggunaan tanah yang lebih cekap, ia boleh memberi kesan negatif kepada penduduk jika kapasiti infrastruktur tidak diambil kira.
Dia menegaskan pihak berkuasa perlu menjelaskan risiko perluasan bandar tidak terkawal dan manfaat menambahkan bilangan rumah - termasuk kadar sewa yang lebih rendah — sambil menangani kebimbangan mengenai pembangunan berlebihan dan kesesakan.
Dwistandard
Dalam perhimpunan yang diadakan minggu lalu, peserta membawa plakard bertulis “Selamatkan Bukit Damansara” dan “Tolak Bangunan Pencakar Langit”.
Namun, netizen mengecam tindakan itu sebagai “dwistandard” golongan kaya, dengan mempersoalkan mengapa tokoh ternama terbabit tidak bersuara apabila kawasan lain di Kuala Lumpur berdepan isu sama.

Ketua Muda bahagian Segambut, Fayyadh Jaafar berkata liputan yang diterima mengenai bantahan itu “melebihi tahap perhatian yang biasanya diberikan kepada penduduk biasa.”
“Di satu pihak, saya gembira isu pembangunan tidak terkawal diberi perhatian. Tapi pada masa sama, sukar menafikan bahawa bantahan ini menarik perhatian kerana siapa yang terlibat. Bila bekas menteri, CEO dan selebriti turun ke jalan di kawasan mewah, media dan pihak berkuasa segera beri reaksi.
“Kejadian ini membuka perbincangan lebih luas — kalau golongan kaya pun rasa pembangunan bandar kita sudah tak terkawal, mungkin selepas ini semua projek akan dipantau lebih ketat, bukan hanya di kawasan elit.”
Fokus golongan miskin bandar
Fayyadh turut menegaskan bantahan oleh golongan berada itu gagal menyentuh kesan pembangunan mewah terhadap penduduk biasa, terutamanya golongan miskin bandar dalam kawasan Segambut yang sangat berbeza taraf ekonominya.
“Segambut ialah kawasan penuh kontra— ada kondominium mewah di satu sisi, dan rumah kampung atau flat kos rendah di sisi lain. Dengan nilai tanah meningkat, ada tekanan untuk memajukan kawasan yang didiami golongan berpendapatan rendah. Kita perlu pastikan ‘pembangunan semula bandar’ tidak menjadi alasan untuk mengusir mereka,” katanya.

Dia berkata, projek berimpak tinggi dan berketumpatan tinggi jarang memberi manfaat langsung kepada penduduk berpendapatan rendah — malah kadangkala menjejaskan mereka, terutamanya yang tinggal di tanah sementara atau dianggap setinggan.
“Apabila pembangunan mewah muncul berhampiran, biasanya dua perkara berlaku — kos sara hidup naik, dan tekanan untuk pengusiran meningkat,” katanya.
Fayyadh menambah, walaupun kawasan perumahan ini berada dalam kawasan Parlimen sama dengan Bukit Damansara, banyak kawasan masih kekurangan infrastruktur asas seperti bekalan air, sistem kumbahan dan sering terjejas banjir kilat.

“Kampung-kampung di Segambut bukan minta bangunan pencakar langit. Mereka cuma mahu longkang yang elok, lampu jalan, dan geran tanah sah. Jalan raya yang baik, lampu, dan laluan pejalan kaki pun masih kurang. Tapi bila tumpuan hanya pada pembangunan besar, suara penduduk biasa terus tenggelam,” katanya.
Dengan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar yang bakal dilaksanakan, dia mengingatkan risiko pengusiran paksa akibat projek mewah dan menyeru kerajaan melindungi serta memberi pampasan adil kepada mereka yang terkesan.
Utamakan pengangkutan, bukan lalu lintas
Sementara itu, pengamal reka bentuk bandar Ernest Wong menolak dakwaan bahawa pembangunan semula Wisma Damansara akan memburukkan kesesakan, dengan menyatakan masalah itu “bukan sesuatu yang luar biasa”.
“Kalau kita anggap setiap pembangunan perumahan akan menambah trafik, pasaran perumahan Kuala Lumpur akan lumpuh. Harga rumah akan melonjak, seperti krisis perumahan di AS dan Eropah yang berpunca daripada peraturan terlalu ketat,” katanya.
Wong menjelaskan tapak yang dicadangkan hanya 400 meter dari Stesen MRT Semantan, yang turut berfungsi sebagai hab bas pengantara, namun mengakui kemudahan pengangkutan awam di kawasan itu masih boleh dipertingkatkan.

Dia menegaskan masalah kesesakan hanya boleh diselesaikan melalui peningkatan akses kepada pengangkutan awam dan insentif untuk menggunakannya, bukannya dengan menghentikan pembinaan bangunan tinggi.
Ahmad Farhan dari ISIS Malaysia turut bersetuju bahawa pembangunan semula itu boleh menambah kesesakan jika berasaskan kereta, tetapi menegaskan masalah itu boleh diatasi melalui pendekatan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
“Ini peluang untuk menguji konsep TOD, di mana pembangunan berpusat di sekitar stesen pengangkutan awam. TOD yang berjaya ialah yang berdekatan kawasan pejabat, kediaman dan komersial padat — perananan yang boleh dimainkan oleh MRT Semantan,” jelasnya.

Dia menambah, langkah mengehadkan kepadatan penduduk hanya akan meningkatkan kadar sewa dan menghalang kemasukan penduduk bandar baru.
“Pembangunan yang melibatkan komuniti dan menggunakan ruang secara cekap akan memberi manfaat besar kepada penduduk tempatan. Penglibatan masyarakat penting untuk bina kepercayaan antara penduduk dan kerajaan — inilah kunci kejayaan melaksanakan projek yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu Fayyadh menegaskan bahawa projek mewah sebegini sering disasarkan kepada pembeli berpendapatan tinggi dan pelabur asing, bukan penduduk tempatan.
“Projek baru sepatutnya turut membawa manfaat kepada komuniti sekitar — sama ada melalui penambahbaikan infrastruktur, penyediaan rumah mampu milik atau dana pembangunan masyarakat.
“Secara jujur, golongan miskin bandar di Segambut tidak banyak mendapat manfaat — malah lebih banyak kehilangan. Mereka tidak akan tinggal di menara mewah itu, tetapi akan menanggung kesesakan yang datang bersamanya.
“Akhirnya, pembangunan bandar sepatutnya memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan kaya. Jika dasar tidak berubah, projek mewah seperti ini hanya akan menyerlahkan lagi jurang ketidaksamarataan di bandar kita,” katanya.