Parti Bersatu Sabah (PBS) berusaha meredakan spekulasi mengenai perpecahan dalaman susulan keputusan sekutunya, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pemangku presiden PBS, Dr Joachim Gunsalam, memberi jaminan bahawa tidak ada bukti ahli parti itu berpaling tadah untuk menyertai Star atau parti lain, meskipun ada yang dikatakan telah didekati.
“Sentiasa ada khabar angin. Ada orang bercakap tentang mahu meninggalkan (PBS) atau dipujuk menjadi calon (untuk parti lain) pada pilihan raya negeri akan datang.
“Tetapi sehingga hari ini, tidak ada seorang pun daripada PBS yang benar-benar keluar. Apa yang saya dengar di peringkat akar umbi ialah orang kita kekal setia,” katanya.

Gunsalam menambah sebaliknya ramai ahli memperkukuh lagi komitmen mereka terhadap perjuangan parti.
“Saya ada beberapa orang yang berkata, ‘Tidak, saya masih bersama PBS, perjuangan saya bersama PBS. Itu parti saya.’
“Itu yang lebih penting,” tegasnya.
Pada 2 Okt lalu, Star yang diketuai Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan secara automatik dipecat daripada GRS selepas memutuskan untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri.
Sebelum itu, Star dan PBS berada dalam proses perbincangan penggabungan.
Namun, Gunsalam berkata semalam bahawa walaupun persefahaman penggabungan masih wujud, rancangan itu ditangguhkan berikutan Star keluar dari GRS.
Beberapa pemimpin Star pilih kekal bersama GRS
Ketika mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin lalu, ketua menteri sementara Hajiji Noor turut mengesahkan bahawa timbalan presiden Star, Ellron Angin (Sook) dan Robert Tawik (Bingkor), serta Adun Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan), dan Flovia Ng (Tulid) memilih untuk kekal bersama GRS walaupun parti mereka disingkirkan daripada gabungan itu.
Buat masa ini, masih belum jelas sama ada kelima-lima mereka akan dicalonkan sebagai calon rasmi GRS pada pilihan raya negeri akan datang.
Namun, Gunsalam turut berkata semalam bahawa ada antara mereka yang menyatakan minat untuk menyertai PBS.
Kebimbangan wujud bahawa PBS boleh berdepan perpecahan memandangkan ada ahlinya yang menyokong idealisme politik Kitingan, seperti konsep “Sabah for Sabahans”.
Gunsalam mengakui slogan Star “Sabah untuk orang Sabah” mendapat sambutan dalam kalangan sebahagian pengundi namun menegaskan PBS turut memperjuangkan matlamat sama iaitu mempertahankan hak Sabah melalui pembinaan gabungan politik.
“Kalau mahu jadi pemimpin hanya untuk jadi calon, itu berbeza. Kalau mahu jadi pemimpin kerana percaya pada perjuangan, maka tidak penting sama ada anda calon atau tidak,” katanya.
PBS, yang memenangi tujuh kerusi pada pilihan raya negeri 2020, kini berdepan cabaran mempertahankan kedudukannya ketika Sabah bersiap untuk menghadapi pilihan raya baru.
[Baca berita asal]