Akar umbi Umno kekal teguh menolak untuk melupakan Najib Razak meskipun Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai ‘obsesi’ terhadap bekas perdana menteri itu.
Sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook Najib memaparkan suara-suara daripada Umno Felda Kota Gelangi yang meluahkan kesedihan mereka atas kehilangan seorang pemimpin yang didakwa telah "banyak berjasa kepada negara."
Selepas satu mesyuarat pada Khamis lalu, Umno Felda Kota Gelangi - yang terletak di negeri kelahiran Najib, Pahang - meluluskan satu resolusi yang menggesa para penyokong untuk terus mempertahankan Najib dan meneruskan perjuangan menuntut keadilan.
“Diharapkan suara membela Najib tidak akan terhenti maka sebaliknya diteruskan sehingga beliau mendapat pembelaan sewajarnya.
"Maka, sama-sama kita memperjuangan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak," menurut resolusi itu.
Hantaran tersebut diberi tajuk: “Akar umbi Umno dan masyarakat Felda rindu, menanti dengan penuh harapan kepulangan Bossku.”
Dalam satu wawancara bersama program 101 East terbitan Al-Jazeera, Anwar menyoal apa yang digambarkannya sebagai ‘obsesi’ terhadap skandal 1MDB dan Najib, yang kini menjalani hukuman penjara, sedangkan masih banyak lagi kes rasuah lain yang membabitkan kehilangan berbilion ringgit masih belum diselesaikan.
Perdana menteri menegaskan dia kekal sebagai penentang tegas skandal 1MDB dan menegaskan ramai lagi pemimpin lain turut terlibat dalam penyelewengan berbilion ringgit.

“1MDB, satu kes besar yang masih berjalan. Ia masih berjalan. Tetapi orang-orang yang terlalu taksub hanya kepada Najib dan 1MDB, saya tidak berkongsi (sentimen mereka).
“Kalau dengar cakap mereka, seolah-olah satu-satunya masalah di Malaysia ialah Najib dan skandal 1MDB,” katanya.
Sebagai reaksi, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang juga penyokong tegar Najib, menjelaskan usaha mempertahankan hak bekas perdana menteri itu untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah itu bukan satu obesesi.
Pada 29 Januari tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah tambahan diraja yang dilaporkan menukar hukuman penjara Najib kepada tahanan rumah.
Ini susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang sebelum itu mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Hukuman tersebut berkaitan kes SRC International berjumlah RM42 juta, melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram.