Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin menggesa Hotel Sunway, penyedia tempat untuk majlis makan malam gala Global Travel Meet, mendedahkan pihak yang mengadakan acara itu secara rasmi - sama ada Tourism Malaysia atau tiga persatuan industri.
Ini berikutan desakan daripada tiga persatuan pelancongan bahawa pemain industri telah menaja majlis makan malam yang menghidangkan alkohol, dan seterusnya mencetuskan kecaman ramai pihak.
“Sebab itu saya memohon supaya pihak Sunway Hotel sebagai venue provider yang merupakan listed group dengan corporate governance untuk dedahkan majlis gala tersebut, letter of undertakingnya adakah daripada Tourism Malaysia ataupun tiga persatuan ini?
"Kalau dari tiga co-host ini, maka maknanya mereka tak boleh ada tuntutan pun kepada pihak Tourism Malaysia, dan kita akan pantau sekiranya terdapat sebarang pembayaran. Tak kisah lah sama ada geran GSSP (geran sokongan sektor pelancongan) atau melalui geran Gamelan," kata Mas Ermieyati semasa sidang media di Parlimen.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, Malaysian Indian Travel & Tours Association (Mitta), Malaysian Inbound Chinese Association (Mica) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) menggesa agar dihentikan kenyataan “mengelirukan” mengenai majlis makan malam gala itu.
Mereka mempertahankan penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing bahawa acara itu telah diambil alih dan dibiayai oleh pemain industri, dan bukannya majlis kerajaan.
Mas Ermieyati, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, hari ini juga menegaskan bahawa walaupun mengesahkan perananan mereka sebagai hos bersama majlis makan malam itu, tidak ada persatuan yang dikreditkan semasa acara itu sendiri atau pada pelbagai bahan promosi yang hanya memaparkan logo Tourism Malaysia.

"Saya amat teruja, terkesima, agak 'hebat' menteri ini sebab dia boleh dapatkan tiga persatian ini untuk belanja makan, minum, serta free flow arak yang jumlahnya saya dah kira sendiri...makan malam di Sunway Resort, hidangan muhibbah RM260 seorang.
"Bayangkan malam itu lebih 600 orang yang hadir, berapakah besar belanja? Belum masuk lagi arak. Saya difahamkan lebih RM80,000, siapa yang bayar?
“Adakah pemain industri ini yang benar-benar bayar?" soalnya.
Bekas timbalan menteri pelancongan itu mengulangi gesaan agar Tiong dipecat, serta SPRM dan Jabatan Audit Negara melancarkan siasatan terhadap perbelanjaan Tourism Malaysia.
Tiong, dalam respons awalnya, mengalu-alukan pengkritik untuk menyemak bil daripada acara itu untuk membuktikan bahawa tiada dana pembayar cukai digunakan untuk majlis makan malam gala itu.
Selepas itu, Ahli Parlimen Bintulu itu berkata majlis makan malam gala itu pada asalnya dianjurkan sebagai sebahagian daripada Global Travel Meet oleh Tourism Malaysia, tetapi pada saat-saat akhir "diambil alih" oleh pemain industri selepas acara hujung minggu itu menjana lebih RM400 juta.