Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin mahu Malaysia memimpin dan menjadi suara yang memecah kebisuan antarabangsa dalam peningkatan ketegangan serantau, khususnya perkembangan membimbangkan antara Israel dan Iran.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata, selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak boleh berdiam diri tetapi mesti tampil memimpin.
“Saya menggesa kerajaan Malaysia memanggil sidang khas Asean-OIC untuk merumuskan langkah segera: gencatan senjata menyeluruh di Gaza dan di antara Israel dan Iran, akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan, sokongan terhadap siasatan bebas jenayah peranang dan dorongan diplomasi tuntas ke arah penyelesaian adil berteraskan hak asasi rakyat Palestin.
“Malaysia mesti menjadi suara yang memecah kebisuan antarabangsa,” katanya.

Sambil memberi amaran bahawa bahawa rantau Asia Barat sedang diheret ke arah peperanangan berskala besa, khususnya antara Israel dan Iran, katanya ini boleh mencetuskan konflik berskala besar yang menggugat kestabilan global – termasuk Malaysia.
“Kebiadaban Israel mesti dihentikan segera. Jika tidak dibendung, kesannya akan menjangkau jauh melampaui Timur Tengah, menggugat kestabilan global,” katanya.
Dia seterusnya menegaskan bahawa Malaysia, selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pengerusi Asean 2025, tidak boleh berpeluk tubuh.
Bekas perdana menteri itu juga menyelar kegagalan dunia Islam dalam memimpin usaha menamatkan kezaliman yang sedang berlaku di rantau berkenaan.

“Kepimpinan dunia Islam amat ditagih pada saat genting ini.
“Namun realitinya, kita sedang menyaksikan kelompongan kepimpinan yang membimbangkan—satu kekosongan moral dan strategik yang melumpuhkan usaha kolektif untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Muhyiddin menyeru agar Malaysia tampil dengan prinsip, keberanian moral dan kewibawaan diplomatik yang mencerminkan suara kemanusiaan sejagat.
“Malaysia tidak harus sekadar menunggu. Kita mesti mara ke hadapan dengan prinsip teguh, keberanian moral yang konsisten, dan kewibawaan diplomatik yang mencerminkan suara kemanusiaan,” katanya lagi.