26.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, November 6, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Isu air: Kami akan jawab jika MB Kedah bawa ke mahkamah – KM Pulau Pinang

    Shopee Sale

    "Terserah kepada kerajaan negeri Kedah untuk memulakan tindakan undang-undang dan kami akan memberi respons sewajarnya".

    Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai hasrat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor untuk membawa pertikaian mengenai isu air antara dua negeri itu ke mahkamah.

    Pemimpin DAP itu berkata terdapat undang-undang dan konvensyen yang mengawal penggunaan sumber air mentah melibatkan lebih daripada satu negara atau negeri, dan ia terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

    "Jika dia (Muhammad Sanusi) hanya bercakap, maka kami juga hanya akan bercakap.

    "Jika dia bawa perkara ini ke mahkamah, maka kami akan menjawab di mahkamah," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, lapor New Straits Times.

    Chow menjawab pertanyaan mengenai peluang negeri itu untuk menang sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.

    Semalam, Chow berkata dia bersedia untuk berdepan Sanusi di mahkamah selepas menteri besar itu mendakwa dia tiada pilihan lain selain meneruskan tindakan undang-undang.

    Terdahulu, Sanusi, ketika ditanya mengenai kerugian yang ditanggung Kedah kerana membekalkan air ke negeri jirannya itu berkata “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi, tak tahulah berapa.”

    Sanusi berkata oleh kerana jumlah tersebut tidak dapat dihitung, kerajaan Kedah berhasrat membuat tuntutan sebanyak RM50 juta setiap tahun.

    Sebanyak 20,000 dokumen dikumpulkan

    Pada Julai lalu, Sanusi mengumumkan pasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri telah memperoleh ribuan dokumen dari luar negara berhubung fakta mengenai hubungan antara Pulau Pinang dan Kedah.

    MENARIK:  ‘Kelewatan projek Pan Borneo di Sabah ekoran isu pengambilan tanah’

    "Dapat banyak dokumen. Saya difahamkan 20,000 dokumen sejarah, kebanyakannya tentang laporan daripada negeri-negeri selat kepada kerajaan British pada masa itu," katanya dilapor media.

    Sanusi berkata penemuan itu akan membantu mengukuhkan fakta mengenai status Pulau Pinang sebagai negeri pajakan semasa pentadbiran penjajah British.

    Sanusi berkata dia sendiri telah mengkaji beberapa dokumen di Perpustakaan British dan British National Archive.

    Bagaimananapun Chow memberitahu Sanusi bahawa dia tidak perlu menjelajah ke seluruh dunia untuk mencari dokumen berkenaan.

    “Kami tidak menafikan bahawa Pulau Pinang dahulunya adalah sebahagian daripada Kedah. Terimalah bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang merdeka dan kedudukannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

    “Tidak perlu anda pergi ke seluruh dunia untuk mengumpulkan 20,000 dokumen mengenai fakta sejarah yang sudah diketahui ini,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah