Seramai 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang dibawa keluar dari Israel selamat tiba di Istanbul, Türkiye, malam ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim.
“Alhamdulillah, Datuk Sani Araby baru maklum bahawa 23 sukarelawan GSF dari Malaysia telah selamat tiba di Istanbul.
“Semoga Allah SWT memberi mereka semangat dan mempermudah segala urusan untuk kembali dengan selamat ke Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial malam ini.
Terdahulu, SNCC memaklumkan bahawa pesawat khas membawa semua aktivis Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, pada 6.45 petang waktu Malaysia.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi catatan di Facebook berkata semua 23 rakyat Malaysia berkenaan berlepas menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye, TK6921.
Pada Khamis, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.