Pemuda PKR (AMK) Sabah hari ini tampil untuk meredakan kebimbangan ekoran laporan yang mendakwa parti itu berdepan dengan masalah terkait dengan calon ‘payung terjun’ menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, pada hakitanya PKR negeri itu tetap bersatu dan stabil sambil kekal memberi perhatian penuh kepada persiapan menghadapi PRN.
Katanya, ‘pertemuan sulit’ seperti yang didedahkan oleh beberapa sumber kepada Malaysiakini semalam merupakan ruang sihat bagi PKR mendengar pandangan daripada akar umbi.
Menurut Zaidi lagi, ia juga dapat memperkukuhkan penyelarasan parti di peringkat cabang dan negeri agar mereka dapat tampil dengan lebih baik di hadapan rakyat.
“AMK Sabah menegaskan bahawa pandangan dan suara ketua-ketua cabang serta pimpinan peringkat negeri wajar dihormati serta dilibatkan dalam proses penentuan calon untuk mencerminkan prinsip PKR yang mengutamakan musyawarah dan kebersamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pandangan Zaidi itu dibuat sebagai mengulas laporan Malaysiakini berhubung kemelut yang didakwa melanda PKR Sabah berhubung isu pengundian calon bagi mewakili parti berkenaan tidak lama lagi.
Memetik beberapa sumber, Malaysiakini diberitahu bahawa ada beberapa individu yang akan dibawa menjadi calon PKR termasuk anak Yang di-Pertua Negeri Sabah, Yamani Hafez Musa, dan bekas ahli Umno yang pernah menjadi Adun Tenom, Jamawi Jaafar.
Zaidi berkata, AMK Sabah tyakin PKR akan tetap berjuang di atas landasan reformasi yang dipimpin presiden mereka, Anwar Ibrahim, yang mengutamakan keadilan sosial, memperkukuh nilai Madani serta membawa sinar baru kepada rakyat Sabah.
“AMK Sabah akan terus memainkan perananan aktif sebagai benteng muda yang memperjuangkan politik nilai, kesetiaan pada perjuangan dan solidariti dalam parti,” katanya.