Perdana Menteri Anwar Ibrahim dicabar menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat program bantuan komputer riba refurbished di bawah Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) yang bernilai RM3.26 juta.
Lebih setahun lalu, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam turut mengemukakan cabaran serupa terhadap P Prabakaran yang ketika itu baru dilantik sebagai pengerusi Mitra.
Subramaniam (gambar bawah) masih bertegas dengan dakwaannya bahawa program yang dilancarkan pada November 2023 itu masih menjadi 'misteri'.
"Sudah lebih dua tahun. Tak ada satu sekolah pun pakai komputer riba ini sekalipun untuk kegunaan di sekolah. Pelik kan.

"Tak pernah menggunakan sekali pun. Saya mencabar perdana menteri untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas menyiasat program bantuan komputer riba ini.
"Anwar yang cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang perdana menteri yang tegas menolak amalan rasuah dan salahguna kuasa khususnya melibatkan pembangkang. Program ini di bawah hidung beliau (Mitra di bawah Jabatan Perdana Menteri). Takkan dia berdiam diri kerana ia melibatkan pemimpin parti sendiri.
"Saya pernah bangkit mengenai isu ini sebelum ini. Tapi, tiada sebarang respons daripada pihak Mitra.
“Maka, saya kali ini minta perdana menteri untuk menyiasat. Beliau boleh hantar pegawai beliau ke sekolah untuk membuat siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Dakwanya lagi, komputer riba yang dibekalkan Mitra itu tidak dapat menyokong sistem pembelajaran di sekolah.
Program bantuan komputer ini dilancarkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia R Ramanan, yang ketika itu pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) — badan yang mengawasi Mitra.
Malaysiakini telah menghubungi Ramanan dan Prabakaran untuk mendapatkan maklum balas lanjut namun masih menunggu jawapan.
Menurut dokumen cadangan Mitra yang dilihat Malaysiakini, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk pembelian 6,000 komputer riba refurbished pelbagai jenama, selain RM263,500 kos penghantaran ke 527 sekolah Tamil di seluruh negara.
Bagaimanapun, aduan daripada ibu bapa dan guru mendakwa perananti itu terpaksa dihantar semula untuk dibaiki hanya beberapa minggu selepas diterima. Mitra bagaimanapun mempertahankan program tersebut.
Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, Senator Sivarraajh Chandran dan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, yang ketika itu merupakan ahli JPPK, pernah menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan membeli komputer riba refurbished dalam mesyuarat pertama.
Namun, difahamkan ketiga-tiga mereka tidak menghadiri mesyuarat kedua yang akhirnya memutuskan untuk meneruskan pembelian tersebut.
Sementara itu, semakan Malaysiakini di lebih 10 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor mengesahkan komputer riba yang diterima tidak dapat digunakan.
"Memang tak dapat digunakan. Ia tak sokong sistem pembelajaran dan pengajaran (PdP). Kami juga tak dapat muat turun program Excel, Microsoft Word dan sebagainya.
"Kita kena faham. Program-program ini asas kepada murid sekolah rendah untuk mengetahui komputer.
"Kalau, komputer riba diberikan oleh Mitra tak dapat sokong program-program ini, kami tak boleh menggunakan di sekolah," kata seorang pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah yang enggan mendedahkan identitinya.