PAS memberi kepercayaan besar kepada bekas Setiausaha Agung Umno dan BN, Annuar Musa, untuk meneruskan perjuangan mereka di Negeri Di Bawah Bayu apabila melantik tokoh terbabit sebagai pengarah pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Dalam hantaran di media sosial hari ini , Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dilihat menerima watikah pelantikan berkenaan daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Annuar, dia turut menerima watikah pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, dan timbalan pengerusi lajnah pilihan raya dan latihan parti berkenaan.
“Saya dengan ikhlas menerima amanah ini, serta akan berkhidmat sebaik mungkin kepada parti dengan berpegang teguh kepada tanggungjawab memperkasa perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara majmuk berbilang bangsa dan agama,” katanya.
Pada 6 Okt lalu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) bagi membolehkan PRN ke-17 berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada minggu depan untuk menentukan tarikh-tarikh penting terkait dengan pelaksanaan PRN tersebut. Badan berkenaan mempunyai masa selama 60 hari – dari tarikh pembubaran DUN – untuk menjalankan pilihan raya.
Untuk rekod Annuar merupakan antara tokoh utama Umno-BN yang gigih cuba merampas Kelantan daripada pentadbiran PAS sebelum ini.
Bagaimanapun krisis dalaman Umno beberapa tahun lalu menyaksikan Annuar dipecat parti terbabit pada Dis 2022.
PAS kemudian mengesahkan Annuar menjadi salah seorang ahli parti tersebut pada Jun 2023.
Selepas pengundian PAS berakhir baru-baru ini, Abdul Hadi mengumumkan parti itu melantik Annuar untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pusat mereka.
Kata Annuar, PAS adalah parti yang memiliki kerusi terbanyak di parlimen ketika ini.
Justeru, katanya, semua orang khususnya beragama Islam wajar teguh bersama PAS untuk “memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.”
“Saya bersyukur PAS istiqamah berjuang atas dasar dasar Islam untuk semua kaum dan bangsa.
“PAS juga terus memimpin dengan semangat perpaduan dan kesatuan,” katanya.