Albert Tei, ahli perniagaan yang telah mengheret beberapa ahli politik Sabah dalam skandal lesen perlombongan, mengulangi cabarannya agar pemimpin berkenaan membuktikan dakwaannya salah.
Tei khususnya menyasarkan pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Joachim Gunsalam dan timbalan presiden parti itu Jahid Jahim, menjemput mereka untuk menyangkal dakwaannya melalui siasatan rasmi.
“Sekali lagi saya cabar mereka membuat laporan polis jika dakwaan ini berunsur fitnah atau palsu.
"Saya mempunyai semua dokumen dan bukti untuk membuktikan perkara ini," kata Tei dalam satu kenyataan, semalam.
Pada 9 Okt, Tei mendakwa memainkan perananan dalam usaha Joachim yang didakwa memonopoli industri besi buruk Sabah ketika ahli politik itu berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan perindustrian.
Untuk menyokong dakwaannya, Tei mengeluarkan dua surat rasmi yang dikatakan dari 2022 - satu didakwa ditandatangani oleh Joachim dan satu lagi oleh Jahid, yang juga berkhidmat sebagai menteri pembangunan luar bandar - yang merupakan sebahagian daripada perananannya untuk menubuhkan syarikat proksi bagi pihak mereka.
Bagaimanapun, Joachim menepis dakwaan itu, dengan mendakwa bahawa walaupun rakaman perbualannya dengan Tei memang wujud, rakaman itu telah dipetik di luar konteks.
Pemangku presiden PBS Dr Joachim Gunsalam
Joachim menegaskan bahawa kontroversi yang lebih meluas harus dilihat sebagai percubaan Tei menguasai sektor perlombongan Sabah melalui rangkaian syarikat proksi.
Menurut Gunsalam, yang juga menteri pembangunan luar bandar, sebarang sumbangan Tei adalah sumbangan politik sukarela kepada PBS, bukan rasuah.
Rakaman itu belum dikeluarkan secara terbuka. Bagaimanapun, pada Jun lalu, sumber telah memberikan Malaysiakini tangkapan skrin yang didkawa diambil daripada rakaman video yang melibatkan enam ahli politik, termasuk Joachim.
Sumber itu mendakwa Joachim telah mengambil RM600,000 daripada Tei sebagai pertukaran untuk menyokong permohonan ahli perniagaan itu untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.
Mengulas desakan Joachim, Tei menuduh ahli politik itu memutarbelitkan fakta untuk menafikan dakwaan salah lakunya.
“Namun, berdasarkan bukti dan elemen yang didedahkan, salah lakunya telah ditunjukkan dengan jelas.
“Ketamakan mereka pada masa itu telah membawa kepada akibat yang mereka hadapi hari ini, dan mereka mesti menanggung akibat undang-undang yang sewajarnya,” tegas Tei.
Dia juga berkata, mengikut surat pada 2022 yang didakwa ditandatangani oleh Joachim, kementerian itu, pada dasarnya, bersetuju dengan pelaksanaan hak eksklusif itu.
“(Joachim) cuba memanipulasi fakta dengan mendakwa dia hanya memberi sokongan, tetapi terbukti perjanjian dasar dikeluarkan secara hitam putih olehnya.
“Agak melucukan apabila sebagai doktor perubatan yang berpendidikan tinggi, (Joachim) gagal membezakan antara sokongan dan persetujuan.
"Jelas sekali, apa yang dia katakan adalah satu pembohongan dan penghinaan kepada kebijaksanaan orang ramai," tambah Tei.
Pemberi maklumat itu juga mempersoalkan sama ada pegawai kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian pada masa itu mempunyai perananan dalam mengesyorkan pelaksanaan hak eksklusif untuk industri besi buruk.
“Saya ingin bertanya siapa sebenarnya menteri yang mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan bagi aktiviti monopoli seperti itu?
"Persoalan yang paling menggeli hati ialah: mengapa (Joachim) menandatangani surat perjanjian itu jika dia benar-benar menolak aktiviti monopoli seperti yang didakwanya?" kata Tei.
Joachim dan Jahid juga sebelum ini dikaitkan dengan skandal lesen perlombongan.