Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa supaya menyelesaikan segera urusan rayuan berhubung hukuman yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata rayuan berkenaan perlu dibuat dengan cepat serta memenuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia.
Katanya FAM juga perlu lebih telus dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat supaya tidak berlaku sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ekosistem pembangunan bola sepak negara.
"Peminat serta pendukung Harimau Malaya hanya mahukan maklumat yang benar dan tepat.
“FAM perlu lebih cermat dalam menguruskan hal ini," katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) peringkat Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.
Fifa sebelum ini mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.
Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib Fifa memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Perkara 22 Kod Tatatertib Fifa melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Kata Fifa, siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM – termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat – mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Tujuh pemain yang dihukum itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
- Bernama