Buat julung kalinya, Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur disambut meriah oleh para peminat yang membanjiri lokasi acara dengan penuh semangat, menjadikan festival ini sebagai satu pengalaman muzik yang sukar dilupakan.
Artikel Berkaitan: Sheila On 7 Bakal Gegarkan Bukit Jalil Julai Ini
Artikel Berkaitan: Seram, Sedih & Menyayat Hati.. Ini Kisah Sebenar Disebalik Lagu Popular ‘Sephia’ Dari Sheila On 7
Sheila On 7 hangatkan KL!

Lebih meriah, kehadiran kumpulan yang paling diminati ramai iaitu Sheila On 7 (SO7) kembali menghiburkan peminat di Malaysia selepas tujuh tahun menjadikan ia salah satu malam bermakna buat para penonton yang hadir pada malam itu.
Teruja dengan sambutan hangat di Malaysia, Duta atau nama penuhnya Akhdiyat Duta Modjo, 45, gembira kerana dapat berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan para peminat.
Malam minggu ini anda semua di sini (SNBJ) bersama Latihan Pestapora. Sudah lama sekali SO7 tidak ke sini (Malaysia).
Kali terakhir kami membuat persembahan pada 2018 tetapi Alhamdulillah malam ini (Sabtu) kami ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan teman-teman (peminat) semua.
Malaysia selalu memberikan memori yang baik untuk SO7. Terima kasih kerana hadir dan percaya anda boleh terhibur di Bukit Jalil malam ini.
Mendendangkan kira-kira 17 buah lagu, SO7 yang membuat persembahan pada jam tepat 9.50 malam menerima sambutan hangat dalam kalangan peminat sekaligus menjadikan ia salah satu tumpuan pada malam acara itu.
SO7 yang terkenal dengan lagu patah hati mempersembahkan lagu popular antaranya Sephia, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Bila Kau Tak Disampingku, Memori Baik dan banyak lagi menerusi segmen berdurasi 90 minit.
Suasana meriah

Sebelum SO7 memulakan persembahan pada sebelah malam, para peminat dihiburkan dengan persembahan Salam Muzik, Pamungkas, Kunto Aji, Dolla, Bittersweet, Barasuara X Efek Rumah Kaca dan .Feast bermula dari pukul 1.30 petang.
Kemudian, acara diteruskan apabila kumpulan terkenal, Bunkface muncul di pentas utama membawa persembahan dengan penuh bertenaga pada jam 7.50 malam dengan menyanyikan beberapa lagu popular seperti Situasi, Revolusi dan banyak lagi.
Suasana bertukar menjadi lebih meriah apabila kumpulan Hindia menampilkan beberapa lagu popular termasuk Rumah Ke Rumah, Cincin dan Membasuh hingga membuatkan para peminat dibuai dengan perasaan.
Sebagai kemuncak konsert, Feel Koplo mengakhiri persembahan Latihan Pestapora Malaysia 2025 dengan gabungan lagu-lagu remix popular seperti We Found Love dan Stecu Stecu bersama kemunculan Ari Lesmana yang meninggalkan kesan mendalam pada para peminat.
The post Latihan Pestapora Malaysia 2025 Disambut Meriah, Kehadiran Sheila On 7 Buat Peminat Tenggelam Dalam Kenangan! first appeared on OHBULAN!.





