Berikutan paras air yang semakin surut dan keadaan bencana banjir kembali reda, fasa pembersihan menjadi keutamaan bagi memastikan setiap kediaman kembali selamat dan selesa didiami.
Artikel Berkaitan: Dokumen Pengenalan Diri Rosak Akibat Banjir, JPN Tawar Penggantian Percuma
Artikel Berkaitan: Lindungi Diri & Keluarga Dari Risiko Penyakit, Ini 10 Tips Keselamatan Makanan Ketika Banjir
Pastikan bebas bakteria

Kerja pembersihan pascabanjir tidak semestinya melelahkan atau memakan masa lama.
Dengan mengikuti langkah asas yang betul, iaitu menilai kerosakan, membersihkan lumpur dan memastikan kawasan bebas bakteria, proses pembersihan boleh dijalankan dengan lebih selamat dan efisien.
Pertama sekali, utamakan keselamatan elektrik sebelum memulakan proses pembersihan rumah selepas banjir. Pastikan suis utama ditutup dan elakkan menyentuh peralatan yang mungkin terkena air.
Sekiranya masih ada beberapa bahagian dan kawasan yang masih lembap atau terendam, hubungi juruelektrik profesional bagi pemeriksaan lanjut.
Semasa kerja pembersihan dilakukan, pastikan memakai kasut kalis air dan sarung tangan getah bagi melindungi diri daripada renjatan elektrik. Selain itu, periksa keadaan lantai, dinding, dan bumbung bagi memastikan tiada bahaya tersembunyi.
Jangan cuba menghidupkan peralatan elektrik yang basah seperti mesin basuh, peti sejuk, atau kipas sehingga ia diperiksa dan disahkan selamat.
Langkah seterusnya, jika terdapat barangan rumah seperti perabot, permaidani, atau tilam yang tidak dapat diselamatkan, bahagikan keseluruhan barangan kepada tiga kategori, boleh digunakan semula, perlu dibersihkan, atau dibuang terus.
Hal ini, kerana barangan yang basah dan berbau boleh menjadi sarang bakteria serta kuman.
Membasmi kuman

Setelah barang-barang diasingkan, langkah seterusnya ialah menyingkirkan lumpur dan kotoran tebal dengan menggunakan penyodok, mop, dan baldi.
Selepas itu, bilas lantai serta dinding dengan air yang bersih sebelum menggosok permukaan lantai mahupun dinding.
Jangan lupa membersihkan longkang dan saluran air bagi mengelakkan sebarang penyumbatan yang boleh menimbulkan masalah kemudian.
Di samping itu, gunakan air sabun dan disinfektan untuk membersihkan seluruh rumah, terutamanya pada permukaan yang kerap disentuh seperti tombol pintu, perabot, dan dinding.
Langkah ini penting untuk membasmi kuman serta mencegah penularan penyakit.
Di samping itu, tingkatkan pengudaraan dengan membuka semua pintu dan tingkap, serta hidupkan kipas untuk mempercepat proses pengeringan.
Keluarkan juga barangan yang boleh dijemur, seperti perabot kayu dan kain, supaya kering sepenuhnya di bawah sinaran matahari.
Sebagai langkah terakhir, terdapat beberapa syarikat insurans yang menawarkan perlindungan khusus bagi mangsa banjir.
Anda turut disarankan untuk menyemak terma polisi dan berbincang dengan wakil insurans bagi memperoleh maklumat lengkap sebelum membuat sebarang keputusan.
Sumber: Iqi Global
The post Langkah Selamat & Efisien Bersihkan Rumah Selepas Banjir first appeared on OHBULAN!.





