
Kredit: Selangor Journal
Dua pengedar tempatan bagi jenama kosmetik antarabangsa yang terpalit dengan kontroversi iklan mengelirukan baru-baru ini boleh menarik nafas lega selepas pihak berkuasa menerima rayuan mereka dan membenarkan produk berkenaan dijual semula.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, kedua-dua pengedar itu telah diberikan amaran tegas. Jika kesilapan sama berulang, lesen penjualan produk terbabit akan ditarik balik.
Rayuan diterima, tapi dengan syarat
Menurut Dr Dzulkefly, dua pengedar yang mengimport dan menjual produk buatan China itu telah menghantar surat rayuan pada 10 Februari lalu selepas menerima surat amaran daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sebelum ini, NPRA mencadangkan pembatalan notifikasi produk mereka kerana iklan yang mengelirukan pengguna, dengan mendakwa larutan pengelupasan kulit berwarna merah dan krim pelindung matahari jenama tersebut boleh dimakan.
“Surat amaran dikeluarkan 31 Januari lalu memberi tempoh 14 hari kepada pemegang notifikasi untuk menyatakan maklum balas. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan hak mereka untuk menjual produk terbabit di pasaran dibatalkan,” katanya.
NPRA akan terus pantau
Dr Dzulkefly turut memaklumkan bahawa iklan kontroversi itu telah pun ditarik balik sebelum tarikh akhir 14 Februari. Pengedar juga menjelaskan bahawa iklan tersebut dimuat naik oleh duta mereka dan berada di luar kawalan pihak mereka.
“Selepas semakan lanjut dan mengambil kira risiko keselamatan, NPRA berpuas hati dengan tindakan pembetulan diambil dan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap rayuan pemegang notifikasi kosmetik untuk mengekalkan notifikasi bagi produk ini,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa NPRA telah memberi amaran kepada pengedar agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sekiranya berlaku lagi, notifikasi produk akan dibatalkan serta-merta tanpa sebarang notis.
NST cuba menghubungi kedua-dua pengedar, namun hanya satu yang memberikan maklum balas melalui e-mel, mengesahkan bahawa video berkaitan telah ditarik balik dan mereka sedang berhubung dengan pihak kementerian.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa NPRA akan terus memantau media sosial jenama berkenaan serta laman web mereka bagi memastikan tiada lagi pelanggaran garis panduan.
“Pemantauan berterusan terhadap iklan kosmetik juga akan dijalankan untuk menjaga kualiti kosmetik yang dinotifikasi dan melindungi keselamatan pengguna,” katanya.





