Kes kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja Malaysia yang mencecah angka 17,646 dalam tempoh lima tahun–realiti yang amat membimbangkan.
Namun, penyelesaian yang lebih efektif memerlukan kita melihat permasalahan ini dari perspektif agama dan budaya dalam masyarakat.
Pendidikan seksualiti tidak boleh hanya berpusat pada aspek biologi atau pencegahan fizikal semata-mata; ia harus diiringi oleh roh penghayatan agama yang mengajarkan bahawa tubuh badan adalah amanah, dan perbuatan zina adalah dosa besar yang harus dijauhi.
Konsep pendidikan seksualiti dalam Islam, sebenarnya sudah lama diperkenalkan melalui adab dan peraturan yang ditanam sejak anak-anak masih kecil.
Konsep aurat, adab meminta izin ketika ingin masuk bilik ibu bapa, pengasingan tempat tidur, konsep siapa mahram dan bukan mahram, serta menjaga pandangan adalah prinsip asas yang bukan sahaja mendidik tentang batasan fizikal tetapi juga membentuk kesedaran rohani dalam menjaga maruah diri.
Ini mengingatkan remaja bahawa kehormatan diri dan batasan dalam pergaulan adalah cerminan iman dan ketaatan kepada Tuhan.
Isu utama dalam masalah kehamilan luar nikah ini adalah zina itu sendiri. Fokus kita tidak boleh hanya pada perkahwinan bawah umur, kerana walaupun isu ini wujud, perkahwinan yang sah tetap berlandaskan tuntutan agama.
Perkahwinan bawah umur di kawasan pedalaman, misalnya, mungkin berlaku atas faktor lain dan perlu dibincangkan secara terpisah.
Sebaliknya, zina adalah barah sosial yang semakin mengakar dan tidak boleh diatasi hanya dengan pendekatan Barat yang berfokus pada pencegahan fizikal tanpa memberi perhatian kepada aspek spiritual dan moral.
Kita memerlukan pendidikan yang menanamkan rasa takut kepada dosa, serta mengimani bahawa Allah sentiasa melihat. Pendekatan ini jauh lebih kukuh untuk menanam kesedaran dan penghayatan dalam menghindari zina.
Bagi mencapai tujuan ini, perlu ada kerjasama bersepadu merentas kementerian dan badan agama dalam merangka dasar yang selari dengan nilai agama dan budaya.
Sasaran yang jelas mesti ditetapkan bagi mengurangkan kes kehamilan luar nikah, bukan sekadar mengumpulkan data tanpa ada intervensi yang serius.
‘Pandangan mata sebagai panah syaitan’
Di sekolah pula, kurikulum pendidikan seksualiti mesti menjadi alat membentuk jati diri remaja yang tahu membezakan antara yang hak dan batil, bukan sekadar memenuhi syarat pendidikan.
Konsep “pandangan mata sebagai panah syaitan” dalam Islam, misalnya, bukan sekadar metafora tetapi peringatan agar mengawal diri daripada perkara yang boleh meruntuhkan maruah.
Pendidikan ini tidak harus terhad kepada bilik darjah, malah perlu melibatkan ibu bapa dan seluruh masyarakat.
Di samping itu, perananan NGO dan sokongan masyarakat sangat penting sebagai pelengkap kepada usaha kementerian dan badan agama.
Contohnya, inisiatif Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melalui ReproAlert! (Modul Pendidikan Seksualiti dan Reproduktif berasaskan Islam), menggunakan pendekatan yang menyeluruh, dengan menghubungkan aspek perubatan dengan nilai Islam.
Ini adalah usaha dalam membantu mendidik remaja tentang kesedaran seksualiti dan reproduktif yang berlandaskan agama dan budaya, tetapi ia juga memerlukan sokongan masyarakat dan pelbagai pihak.
Isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja perlu dilihat sebagai simptom kepada akar umbi masalah sosial yang lebih mendalam.
Semua pihak perlu memainkan perananan bagi menyelesaikan masalah ini, melibatkan keseluruhan struktur sosial, termasuk ibu bapa, sekolah, kementerian, badan agama, NGO, masyarakat serta semua pihak, demi membentuk generasi yang terpelihara daripada gejala dan tingkah laku yang merosakkan diri dan masyarakat.
SITI SARAH AMRAN ialah ketua Biro Keluarga dan Masyarakat Isma merangkap panel penggubal ReproAlert!.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.