ULASAN | Keputusan PRN Sabah yang baru-baru ini memaparkan paradoks besar politik Borneo. Meskipun parti-parti tempatan mencapai kemenangan besar dalam sejarah politik moden Sabah, mandat pembentukan kerajaan negeri akhirnya tetap bergantung pada pihak luar – iaitu PH – walaupun ia antara parti yang paling ditolak oleh pengundi negeri itu.
Keputusan tersebut menandakan dinamika permainan kuasa yang melangkaui Sabah.
Kuasa sebenar bukan hanya bergantung pada jumlah kerusi, sebaliknya keupayaan membaca peta kuasa, menguasai kelompok elit dan membina pakatan strategik yang boleh menentukan kestabilan dan keseimbangan sesuatu blok kuasa.
Membaca politik tidak memadai hanya satu tingkat dan lapisan sahaja. Politik bukan sekadar melihat siapa menang atau kalah, atau siapa wajar bergabung atau siapa harus tersingkir. Politik menuntut pengamatan yang mendalam terhadap lapis-lapisan yang ada, khususnya seni mengurus kuasa, kebijaksanaan rundingan dan kebolehan mengawal tingkah laku elit politik.
Dalam PRN kali ini, tiada pihak yang muncul sebagai pemenang mutlak, sebaliknya terdapat kuasa di sebalik tirai yang menentukan haluan, menyusun arah permainan dan menetapkan masa depan politik Sabah.
Ia tidak menghairankan kerana sejarah politik Sabah memang kerap menjadi medan eksperimen pertukaran kerajaan negeri sejak pembentukan Malaysia dengan pelbagai episod dramatik pertukaran parti, pembinaan pakatan baru dan era tokoh yang bersilih ganti.
Simbolik yang jelas
Semuanya berlaku dalam konteks pasang-surut hubungan Sabah-Persekutuan yang ada ketikanya erat dan pada detik lain tegang.
PRN lalu memberi tanda dan makna bahawa kemenangan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak semestinya menjamin kekuatan lokal sepenuhnya. GRS mencatat kemenangan 29 kerusi, sementara Warisan memungut 25 kerusi. Secara matematik kedua-duanya merupakan blok lokal paling dominan.
Namun GRS dan Warisan tidak mampu berdiri dengan satu ketumbukan majoriti yang kukuh. Garis pembezanya ialah ialah ‘kuasa’ dari Pusat – yang berteraskan satu kerusi simbolik PH, selain perananan Anwar Ibrahim yang dianggap menjadi tali penyambung, dan keupayaan mengurus parti tempatan yang berpecah.
Walaupun kuasa dari pusat itu berada pada tahap sokongan terendah dalam sejarah Sabah, tetapi mereka masih memiliki jaringan institusi, akses kuasa dan keupayaan memanfaatkan kebergantungan elit Sabah terhadap Putrajaya.

Inilah ironi politik Sabah – kuasa tidak hanya diukur pada kuantiti kerusi yang diraih elit Sabah untuk menunjukkan dominasi mereka, tetapi pada kebijaksanaan taktikal, strategi jangka panjang dan kemampauan mengatur momentum yang telah lama dirancang.
Dalam ruang ini, faktor kuasa dari Persekutan dianggap penting kerana boleh mengimbangi dan mengawal pengaruh elit Sabah.
Menariknya, pengisytiharan awal PH untuk menyokong GRS dalam penubuhan kerajaan negeri membuktikan bahawa mereka bukan hadir tanpa perananan yang signifikan.
Bayangkan sebuah parti dengan hanya satu kerusi menjadi pihak pertama mengisyitiharkan pembentukan kerajaan. Tindakan simbolik itu merupakan petunjuk jelas daripada perdana menteri kepada elit politk Sabah bahawa kerajaan Perpaduan mahu memastikan negeri tersebut tidak boleh memisahkan diri daripada bayangan politik Persekutuan.
Walaupun PH menghadapi kekalahan paling ketara – PKR dan DAP berada pada titik terendah dari sudut penerimaan rakyat Sabah – langkah awal ‘mengunci sokongan’ kepada GRS adalah mesej strategik.
Kecilkan ruang gerakan politik
Real politik di lapangan memang tetap pedih dan menyinggung, sentimen anti-Malaya semakin membahang.Parti nasional tidak mendapat dukungan akar umbi dan hilang daya tarikan kelas pertengahan bandar.
Tetapi Anwar masih menguasai politik elit iaitu ruang yang cukup eksklusif yang memberi kelebihan untuknya mengekalkan pengaruh dalam kalangan elit, sekali gus memastikan tempo pergerakan politik berada dalam radar dan kawalannya.
Untuk memahami PRN Sabah, kita perlu memandang dalam kanta yang pelbagai dan ruang yang beragam sebelum dan selepas penngundian.
Pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri sejak awal tahun ini bukan keputusan simbolik, tetapi langkah jangka panjang menyusun atur dan menstruktur semula imbangan kuasa elit di Sabah.
Musa dicadangkan pelantikannya oleh Hajiji Noor, sedangkan pesaing utamanya, iaitu Mohd Shafie Apdal, mempunyai sejarah keretakan hubungan dengan gabenor. Dalam konteks ini, kedudukan gabenor yang memegang kuasa budi bicara dalam pelantikan ketua menteri menjadi aset strategik dan laluan selesa kepada Hajiji.

Dari satu segi lain, Mohd Shafie dilihat tidak memperluas jaringan sekutu dan elit kebanyakan tidak berada di belakangnya sebagaimana dimiliki Hajiji. Keputusan berkeras mempertahankan formula hanya membina pakatan lokal telah mengecilkan ruang gerakan politiknya untuk menandingi Hajiji.
Dalam seni peperanangan politik yang kompleks dan berlapis, kuasa jarang dimenangi secara solo. Kelebihan GRS bukan kerana kekuatan mereka secara sendirian, sebaliknya kerana mempunyai dua lapisan sokongan.
Pertama, gabungan lokal yang berjaya diperkukuh dan diperluaskan. Kedua, sokongan dari luar pakatan termasuk calon-calon bebas yang kembali semula serta dukungan strategik daripada parti yang dipimpin perdana menteri.
Sebaliknya Warisan masuk ke gelanggang secara sendirian, meskipun mendapat kerusi besar. Terdapat kemungkinan Mohd Shafie mengharapkan kesan nostalgia dan politik malar segar 1980-an – untuk mengulangi sejarah kejayaan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah menggulingkan Parti Berjaya pimpinan Harris Salleh yang pro-Persekutuan.
Tak sama dengan Sarawak
Namun konteks politik kini berbeza, struktur kuasa jauh berubah dan realiti hubungan Sabah-Persekutuan sukar lagi membenarkan gereakan solo sedemikian.
Sebahagian pemerhati memandang langkah Anwar ‘bermain dua kolam’ apabila berkerjsama dengan GRS sambil mengekalkan hubungan BN.
Dari perspektif pengundi, pendekatan sebegitu menyumbang faktor kekalahan teruk PH. Bagaimanapun dari perspektif Putrajya, ia boleh dibaca sebagai strategi untuk memecahkan dominasi tunggal Sabah agar tidak wujud satu blok parti lokal yang besar yang akan menekan kerajaan Pusat.
Pendekatan itu akhirnya terus memecahkan blok besar antara GRS-Warisan dan mewujudkan fenomena ‘pecah dan perintah’. Hasil PRN Sabah menunjukkan bahawa Putrajaya menjadi kunci pembentukan kerajaan negeri, menjadikan Anwar tetap relevan dalam proses perudingan kuasa walaupun perananannya bersifat ‘tangan ghaib’ tetapi strategik di balik tabir.
Walaupun PH seolah-olah ‘bernafas dalam lumpur’ kerana ditolak di Sabah namun ia masih memegang tombol kuasa yang menetukan siapa berkuasa menjadi ketua menteri.

Jika dihitung, GRS atau Warisan secara kolektif telah menguasai lebih 50 kerusi, dan jika digabung dengan parti-parti lokal lain, jumlahnya melebihi 60 kerusi.
Parti Malaya hanya memegang lapan kerusi dan secara teori boleh diketepikan dalam pembentukan kerajaan negeri.
Sungguhpun kecil, PH dianggap strategik kerana dikepalai oleh Anwar meletakkan ia sebagai aktor penting dalam rundingan kuasa.
Pada dasarnya perpecahan dan permusuhan dua blok besar Sabah telah menutup pintu pembentukan kerajaan tanpa bantuan dan penglibatan parti Malaya. Malah BN yang berseteru dengan GRS juga dilibatkan dalam proses pembentukan kerajaan negeri.
Keadaan itu berbeza dengan Sarawak apabila Gabungan Parti sarawak (GPS) membina blok dan gabungan tunggal yang kuat, stabil dan bersatu.
Jadi penentu pemerintah
Sebaliknya di Sabah bloknya saling bertembung, sekutu yang tidak stabil dan boleh sentiasa bertukar pendirian. Perpecahan ini yang meberi kuasa pusat ruang kawalan, memastikan ketidaktentuan politik berterusan untuk Parti Malaya terus bernafas.
PRN Sabah kali ini menunjukkan penegasan identiti politk lokal semakin membesar, tetapi tidak cukup untuk membentuk kuasa autonomi sepenuhnya.
Kemenangan GRS dan Warisan kurang bermakna bagi pengundi sekiranya mereka gagal membina blok kuasa bersama. Dalam kekosongan kuasa itu, parti Malaya – meskipun kecil – tetap boleh menentukan siapa yang memerintah.
Fenomena ini juga mengukuhkan tanggapan lama “Sabah hampir mustahil dipimpin oleh ketua menteri yang tidak serasi dengan pendirian Putrajaya.”
Boleh imbau sejarah Joseph Pairin Kitingan dan PBS yang bergelut mempertahankan kuasa berikutan pendiriannya banyak bertentangan dengan Pusat dan perdana menteri ketika itu.
Ketua Menteri yang bertahan lama ialah tokoh yang tidak menyinggung pusat, bahkan memastikan perdana menteri sentiasa ‘tersenyum lebar.’
Anwar tidak berjaya menguasai politik Sabah sepenuhnya, tetapi dia berjaya memastikan tiada satu blok Sabah menjadi kuasa tunggal.
Dalam teori politik realis, kegagalan menguasai bukan masalah utama kerana yang penting ialah menghalang pesaing daripada berkuasa sepenuhnya.
MOHD AZIZI JAEH dan MUHAMMAD HELMI OTHMAN ialah pemerhati politik yang memiliki berkelulusan sarjana sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





