Sesi rakaman keterangan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob oleh SPRM dilaporkan ditangguh sekali lagi, kali ini ke 13 Mac.
SPRM pada asalnya dijadualkan menyoal ahli Parlimen Bera itu buat kali kedua semalam, tetapi ditangguhkan ke esok atas sebab kesihatan.
Bagaimanapun, menurut New Straits Times, soal siasat esok dibatalkan selepas Ismail Sabri menyerahkan satu lagi surat cuti sakit (MC) daripada doktornya sehingga 12 Mac.
Laporan itu menyatakan SPRM akan bercakap dengan doktor esok untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan bekas perdana menteri itu dan memastikan dia sihat untuk memberi kenyataan pada tarikh baru itu, iaitu sehari selepas tempoh yang dinyatakan dalam MC berkenaan.
SPRM telah pun menyoal Ismail Sabri selama lima jam pada 18 Feb, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perbelanjaan untuk kempen promosi Keluarga Malaysia ketika pentadbiran perdana menteri kesembilan itu.
SPRM juga telah merampas RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16kg emas dari premis yang dikaitkan dengan bekas pembantu Ismail Sabri.
Beberapa hari selepas sesi soal siasat pertama, Ismail Sabri dilaporkan rebah di rumahnya dan dimasukkan ke hospital.
Sehari kemudian pada 23 Feb, anak perempuannya Nina Sabrina berkata bapanya "stabil dan semakin sihat", manakala setiausaha akhbarnya Azran Fitri Rahim dipetik berkata tekanan darah Ismail Sabri meningkat sedikit.