Seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah pusat sauna yang didakwa menganjurkan aktiviti songsang telah diarahkan meletakkan jawatan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud.
Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Mustapha berkata unit integriti kementerian juga telah memulakan siasatan dalaman “ke arah tindakan tatatertib” mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.

“Pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta merta daripada pejabat timbalan menteri.
“Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan unit integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Sebagai timbalan menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” kata Mustapha.
Walaupun kenyataan Mustapha tidak memperincikan kesalahan tersebut, Malaysiakini kemudian menghubunginya dan menerima pengesahan bahawa ia berkaitan serbuan ke atas pusat kesihatan berkenaan.
Tinjauan di Facebook Mustapha, yang mana kenyataan itu dimuat naik, mendapati dia turut mengehadkan siapa yang boleh mengulas.

Penjawat awam di Malaysia tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (POCD 1993), yang menetapkan peraturan salah laku, tatatertib, pemecatan dan penurunan pangkat — dan mereka tidak boleh dibuang kerja sewenang-wenangnya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pula mempunyai kuasa ke atas pelantikan dan pemecatan bagi banyak jawatan perkhidmatan awam di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 132, manakala Perkara 135 memberikan perlindungan terhadap pemecatan tidak wajar.
Di bawah Perkara 135(2) Perlembagaan, seseorang penjawat awam tidak boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar.





