PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menuduh pembangkang bersikap “hipokrit” kerana kecoh berhubung dakwaan surat sokongan yang dihantar pegawai beliau, sedangkan exco negeri pimpinan PAS juga didakwa melakukan perkara sama — malah lebih serius.
Menjawab soalan seorang ahli parlimen pembangkang mengenai isu tersebut, Anwar membaca petikan dua surat sokongan yang didakwanya ditulis oleh pemimpin kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan.
Menurut Anwar, surat yang ditulis pegawainya hanya berbentuk “dipanjangkan” untuk rujukan atau “untuk pertimbangan”, manakala surat pemimpin negeri PAS tersebut secara jelas memohon kelulusan bagi pihak syarikat.

“Jadi jangan... kita harus konsisten.
“Surat menyatakan, surat ini dipanjangkan Itu, riuh rendah satu kesalahan besar.
“Surat menyatakan untuk kelulusan. Tak ada satu suara.
“Saya baca sekali lagi: Untuk kelulusan pihak Datuk - yang tadi itu Terengganu ditulis oleh seorang exco.
“(Surat dari) yang Kelantan ini untuk iaitu memohon pertimbang kelulusan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan itu dikemukakan oleh Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah), yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menjalankan audit dalaman terhadap pegawai menteri.
Ini susulan dua pegawai politik perdana menteri baru-baru ini dikaitkan dengan dakwaan mengeluarkan surat sokongan bagi syarikat — yang tular di media sosial.
Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia sudah menjelaskan bahawa dirinya menolak amalan surat sokongan.

Bagaimanapun, dia menegaskan surat yang sekadar dikemukakan untuk pertimbangan tidak membawa maksud menyokong kelulusan projek.
“Memang saya telah menyatakan bahawa saya tidak setuju bentuk surat sokongan ini, cuma kita harus bezakan... sepertimana dizahirkan baru-baru ini, kes termasuk pegawai di pejabat saya, senarai enam syarikat kemudian minta dipertimbangkan, jadi wajar diberi teguran.
“...tetapi apakah harus dipecat?... kerana surat menyebut ‘sila pertimbangkan’, bukan syor meluluskan... kemudian dibangkitkan lagi, seorang pegawai saya di Kementerian Kewangan yang menyebut surat itu ‘dipanjangkan’.
“Ada saya pergi mana-mana daerah, pergi mana-mana negeri, orang hantar surat kepada saya, saya tulis ‘sila teliti’ tetapi yang tidak boleh adalah ‘menyokong’ atau meminta supaya syarikat itu diberikan kelulusan,” katanya.





