29.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PKR Maran lancar jentera, sedia letak calon di Luit, Kuala Sentul

    Shopee Sale

    PKR Maran tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon di kedua-dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang ada di bawah kawasan parlimen tersebut – iaitu Luit dan Kuala Sentul – apabila PRU ke-16 berlangsung nanti.

    Pertimbangan itu sedang dibuat PKR susulan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan baru-baru ini, serta pengumuman dibuat BN Johor yang mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Ketua PKR Maran, Michael Sia Wei Lung, berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah untuk memperkuatkan sokongan di peringkat akar umbi bagi merampas kerusi DUN terbabit yang kini diwakili PN.

    "Sebelum ini kami merujuk kepada perjanjian melibatkan penubuhan kerajaan perpaduan dan pembahagian kerusi diputuskan kepada status quo.

    “Jika sebelum ini Umno bertanding, PKR-PH tak kacau dan begitu juga sebaliknya.

    "Tapi selepas menilai perkembangan semasa membabitkan krisis di Negeri Sembilan dan seterusnya pendirian BN Johor, kita perlu ambil langkah persediaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuk pertembungan tiga penjuru.

    "Untuk tujuan itu, sebagai permulaan PKR Maran melancarkan jentera pilihan raya peringkat cabang hari ini," katanya ketika sidang media di pejabat mereka di Maran, hari ini.

    Berdasarkan semakan, PKR Maran menjadi cabang pertama melancarkan jentera pilihan raya selepas Konvensyen PH yang berlangsung di Johor, hujung minggu lalu.

    Sedia kalau perlu berlawan

    Dalam PRU ke-15, PKR meletakkan calon di kedua-dua kerusi DUN berkenaan dengan Mohd Afandi Abd Rani bertanding di DUN Luit, manakala Amran Tahir dicalonkan untuk kerusi DUN Kuala Sentul.

    Kerusi DUN Luit dimenangi calon PN daripada PAS, Mohd Sofian Abdul Jalil, dengan majoriti 1,166 undi.

    MENARIK:  Kelantan sasar 50,000 pelancong lawat negeri itu tahun ini

    Jasri Jamaludin dari Bersatu yang mewakili PN pula menang kerusi DUN Kuala Sentul dengan 241 majoriti undi.

    Mengulas lanjut, Sia memberitahu, perkara itu juga dibincangkan dalam Konvensyen PH dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, turut mengumumkan gabungan itu sedia meletakkan calon di semua kerusi DUN Johor.

    "Macam untuk kerusi DUN Luit dan Kuala Sentul, ia bukan disebabkan politik atau pilihan raya semata-mata... tapi ia melibatkan masa depan rakyat, pembangunan kawasan dan hala tuju generasi akan datang di Maran.

    "Kami tidak ada masalah dengan BN atau PAS, tapi kalau perlu lawan dalam PRU ke-16, kami sentiasa bersedia kerana inilah makna sebenar demokrasi... sesiapa saja boleh masuk bertanding jadi calon," jelasnya.

    Sementara itu, Sia turut mengulas berkaitan tindakan Timbalan Ketua PKR Maran, Halias Abdul Aziz, yang hadir pada majlis pengumuman hala tuju politik Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad di Petaling Jaya, Ahad lalu.

    Katanya, tindakan Halias itu sudah boleh dijangka dan aduan mengenai perkara berkenaan sudah dibuat kepada Lembaga Disiplin PKR untuk tindakan lanjut.

    "Surat aduan rasmi sudah dihantar pada 18 Mei lalu dan kita tunggulah apa penjelasan beliau serta apa tindakan parti.

    "Bagi kami di Maran, kami cuma ingin nasihat beliau dan sesiapa saja yang sudah tidak berminat untuk bersama-sama PKR, sila keluar dengan cara terhormat.

    "Kita tidak mahu disebabkan sikap individu seperti ini mengganggu perjalanan dan persiapan PKR Maran dalam berdepan PRU16," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah