“Kami berdiri di balkoni hotel, tadah air hujan guna payung untuk mandi.”
Itulah antara pengalaman yang tak boleh dilupakan oleh Nur Azzah, salah seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperanangkap selama tujuh hari di Hatyai akibat banjir besar yang melumpuhkan seluruh bandar itu.
Wanita berusia 22 tahun itu merupakan salah seorang peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025.
Apa yang sepatutnya menjadi minggu terakhir program pertukaran budaya bertukar menjadi pengalaman penuh debar dan getir namun pada masa sama penuh dengan semangat kekitaan.
Mereka sepatutnya pulang ke Malaysia pada Sabtu minggu lalu, namun terkandas di hotel tanpa bekalan elektrik dan air bersih.
Bercakap kepada Malaysiakini, Nur Azzah berkata untuk mengisi perut, mereka pada mulanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan pihak hotel dan penghuni jangka panjang hotel itu.
Dia berkata hotel turut menyediakan perkhidmatan bilik sewa dan penghuni memang ada bekalan makanan. Justeru, bahan makanan yang ada dimasak dan dikongsi bersama dengan kira-kira 200 orang yang terkandas.
“Setiap kali mereka masak, mereka akan panggil kami untuk makan bersama,” katanya. Antara menu yang dapat disediakan ialah bubur, bihun dan maggi goreng.

Menurut Nur Azzah, pada hari pertama banjir mereka masih mampu untuk makan lima kali sehari.
Namun untuk hari berikutnya, katanya lagi, makanan terpaksa ‘dicatu’ kepada dua hingga tiga kali sehari, dengan setiap hidangan terhad satu senduk seorang.
“Kami tak nak pentingkan diri. Kami tak tahu bekalan makanan esok hari cukup atau tidak,” katanya.
Selepas tiga hari terkandas, bantuan makanan dari pihak konsulat akhirnya tiba. Mereka diberi 18 bungkus nasi dan enam botol besar air mineral sehari.
“Selepas itu kami terima makanan yang sudah siap dimasak, dengan sebungkus dikongsi tiga orang,” kata Nur Azzah lagi.
Minum air hujan
Memandangkan bekalan air bersih sangat terhad, air hujan juga terpaksa digunakan sebagai minuman, kata seorang lagi pelajar, Aaisya Akbar.
“Kami di sana tak cukup air dan makanan,” imbas wanita berusia 22 tahun itu.

Ketiadaan bekalan elektrik bermakna mereka perlu mengehadkan penggunaan telefon - yang sangat penting di saat perhubungan secara fizikal terputus.
Aaisya berkata, mereka hanya menghidupkan telefon dan perananti lain hanya ketika terdapat liputan. Mereka juga perlu bergilir untuk mengecas telefon menggunakan bateri kereta orang tempatan di sana.
Jadi kata Aaisyah, bagi menjimatkan bateri dan lebih utama, mengurangkan tekanan, mereka menghabiskan masa dengan bermain kad, mencipta permainan sendiri dan saling bertukar cerita sepanjang tempoh menunggu bantuan tiba.
“Ini merapatkan hubungan sesama kami.”
Sembahyang pula ditunaikan secara jamak bagi menjimatkan air untuk berwuduk.

Antara detik yang sukar dilupakan Aaisyah adalah ketika dia menyaksikan seorang lelaki tempatan terpaksa memasang khemah di atas bumbung selepas paras air telah menenggelamkan tingkat bawah rumahnya.
Budi orang tempatan
Bagi Darshan Murugan, 19, pengalaman itu benar-benar menjadi ujian fizikal dan mental buatnya . Dia bersama 14 pelajar lelaki lain menadah air hujan di atas bumbung hotel untuk mandi dan minum selain untuk keperluan asas lain.
Darshan berkata ada ketika dia hampir pengsan kerana kekurangan tenaga. Walaupun lapar dan lemah, dia tetap mengulang kaji pelajaran kerana tidak mahu menghadapi peperiksaan tanpa persediaan.

“Saya hampir pengsan kerana kurang tenaga, tertekan dan lapar,” katanya.
Dia sangat terhutang budi kepada penduduk tempatan yang sangat prihatin terhadap keadaannya dan pelajar lain ketika itu.
“Mereka sangat baik dan prihatin terhadap saya, mereka siap bancuh air manis untuk saya,”ujarnya.
Kekangan bahasa tidak menghalang orang tempatan daripada menghulurkan bantuan. Darshan melihat semangat saling membantu dan tidak pentingkan diri yang menurutnya menjadi nadi kekuatan semua yang terkandas.
Akhirnya pulang
Aaisya berkata pada pagi 27 November, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Wan Zaidi Abdullah dan beberapa anggota penyelamat lain datang ke hotel dengan menaiki bot bagi menyampaikan berita gembira - trak penyelamat akan tiba untuk membawa mereka pulang.
Dia berkata trak tersebut tiba beberapa jam kemudian. Mereka dibawa ke pusat perkumpulan rakyat Malaysia yang terkandas untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan.
Turut ada ketika itu adalah Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UUM, Ahmad Marthada Mohamed bersama beberapa pegawai kerajaan lain.

Saat yang ditungu akhirnya tiba setelah kira-kira seminggu mereka terkandas. Sekitar jam lima petang, kata Aaisya, kesemua pelajar dan pensyarah UUM menaiki bas menuju sempadan Malaysia-Thailand,di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Setakat Jumaat lalu, kira-kira 145 dilaporkan telah terkorban dalam banjir yang melanda sembilan wilayah di selatan Thailand, termasuk 110 di Songkhla yang mana Hat Yai adalah bandar utamanya.
Seramai 16,000 orang pula terpaksa dipindahkan ke 16 pusat evakuasi di bandar itu.





