PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said enggan menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dilanjutkan.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Azalina memetik Peraturan Mesyuarat 23(1)(h) Dewan Rakyat sebagai alasan untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(h), soalan berkaitan cadangan atau rancangan masa depan yang bersifat spekulatif adalah tidak sesuai untuk diberikan jawapan khusus kerana ia melibatkan perkara yang ‘belum lagi menjadi masalah’ atau bersifat spekulatif semata-mata,” katanya.
Dia menambah keputusan mengenai sebarang lanjutan kontrak pada masa hadapan akan dibuat berdasarkan penilaian prestasi, keperluan agensi, serta pertimbangan yang sesuai pada masa yang munasabah.
Kerajaan, katanya, komited memastikan SPRM beroperasi dengan berkesan, dan akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat “apabila tiba masanya”.
Peraturan Mesyuarat yang dirujuk oleh Azalina menyatakan bahawa sesuatu soalan tidak boleh dikemukakan bagi tujuan mendapatkan pendapat, penyelesaian kes undang-undang abstrak, atau jawapan kepada cadangan hipotesis.
Rafizi mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercadang untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan Azam untuk kali keempat.
Bekas menteri ekonomi itu turut merujuk kritikan terhadap Azam, khususnya yang pernah dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menjelang pengundian parti.
Anak sulung Anwar itu kemudiannya menewaskan Rafizi bagi jawatan nombor dua PKR.
Pada ketika itu, Nurul Izzah menyifatkan lanjutan kontrak yang diberikan kepada Azam sebagai “tidak dialu-alukan”, sambil menegaskan bahawa PKR perlu “berdiri teguh untuk reformasi”.
Dia juga berjanji untuk bersemuka dengan Anwar berhubung perkara itu sekiranya terpilih sebagai timbalan presiden parti.
Kenyataan Nurul Izzah dibuat selepas Azam – yang sering dikaitkan dengan kontroversi – diberikan lanjutan ketiga sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah kepimpinan Anwar.
Antara rungutan terhadap Azam ialah persepsi bahawa agensi pencegahan rasuah itu melengah-lengahkan siasatan terhadap skandal rasuah lesen perlombongan Sabah, yang melibatkan beberapa Adun dan pemimpin kerajaan negeri.
Sementara itu, dalam satu lagi jawapan bertulis, Azalina berkata, peruntukan untuk semua 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) kekal sebanyak RM5 juta.
“Dalam usaha memperkukuh perananan PSSC Dewan Negara dan Dewan Rakyat, daripada hampir RM220 juta yang diperuntukkan kepada parlimen dalam Belanjawan 2026, RM5 juta diperuntukkan secara khusus bagi memastikan jawatankuasa mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan fungsi mereka dengan berkesan,” katanya.
Azalina berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) yang sebelum ini menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan bagi semua 10 PSSC daripada RM500,000 setiap satu.
Wong selaku Pengerusi PSSC mengenai Hal Ehwal Antarabangsa dan Keselamatan, pada 23 Okt lalu mencadangkan peruntukan RM2 juta bagi setiap PSSC.
Berhujah bahawa sukar untuk PSSC melaksanakan tugas mereka jika tidak menerima peruntukan mencukupi, Wong turut mengingatkan Anwar bahawa bekas pendahuluannya, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memperuntukkan RM1 juta bagi setiap PSSC.





