Jabatan Pendidikan Negeri Johor menafikan memberi arahan untuk mengeluarkan arca tokoh sastera Thiruvalluvar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri itu, selepas isu tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian masyarakat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad, berkata bahawa tiada sebarang arahan seumpamanya dikeluarkan oleh pihaknya.
“Jabatan Pendidikan Neger Johor ingin memaklumkan bahawa tiada sebarang arahan seumpamanya dikeluarkan.
“Pengarah Pendidikan Negeri Johor akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat dalam waktu terdekat bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.
“Pegawai pendidikan di negeri ini diingatkan untuk sentiasa peka terhadap sensitiviti agama dan masyarakat berbilang kaum demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian seluruh warga institusi pendidikan," katanya.
Isu berkenaan timbul selepas sepucuk surat pekeliling tular di media sosial dikatakan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat menegaskan bahawa pembinaan arca atau tugu di sekolah-sekolah tanpa kelulusan dari Pendaftar Institusi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia adalah tidak dibenarkan.
Malaysiakini turut melihat surat yang didakwa itu, yang ditandatangani oleh Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Abdul Rahman Kechik.
Menurut surat itu, Pejabat Pendidikan Daerah Segamat menerima beberapa maklumat mengenai cadangan pembinaan arca dan tugu di sekolah-sekolah dalam daerah berkenaan.
"Namun, berdasarkan rujukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia, permohonan untuk memasang sebarang replika atau tugu adalah menyalahi Akta Pendidikan 1996 (Akta 550, Seksyen 83)," kata Abdul Rahman dalam surat yang dipanjangkan kepada semua sekolah di daerah Segamat.
Walaupun, surat itu tidak menyentuh secara spesifik mengenai arca dan tugu yang dibina, namun dipercayai merujuk kepada patung Thiruvalluvar yang dibina di sebuah sekolah Tamil di daerah Segamat baru-baru ini.
PPD Segamat turut mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran terhadap arahan, akta, pekeliling, atau garis panduan yang berkuat kuasa boleh mengakibatkan tindakan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Sementara itu, Malaysia Hindudharma Maamandram menyifatkan arahan PPD Segamat sebagai tindakan yang tidak wajar, sensitif secara budaya, dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum.
Presidennya Rishikumar Vadivelu berkata arca itu bukan objek pemujaan keagamaan, sebaliknya mewakili warisan budaya dan identiti masyarakat India di Malaysia.
"Tindakan mengeluarkan arca boleh menimbulkan perasaan terpinggir, diskriminasi, dan ketidakadilan dalam kalangan komuniti India.
"Kamii menyeru JPN Johor dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) campur tangan dengan segera bagi membatalkan arahan tersebut jika wujud," katanya.
Maamandram turut mencadangkan agar dialog terbuka diadakan bersama pemegang taruh SJKT berkenaan sebelum sebarang keputusan sensitif budaya dibuat pada masa hadapan.
Thiruvalluvar merupakan pengarang 'Thirukkural'‘, karya sastera terkenal. Dia adalah tokoh moral dan sastera yang dihormati secara global, dan patungnya ditempatkan hampir semua sekolah SJKT di negara ini sebagai simbol aspirasi ilmu pengetahuan dan nilai etika.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sering memetik Thirukural dalam ucapannya khususnya ketika membentangkan belanjawan di parlimen.





