Isteri kepada paderi Raymond Koh memohon agar firma guaman yang mewakilinya Tetuan Jerald Gomez & Associates dilantik sebagai pemegang amanah untuk menerima ganti rugi berjumlah lebih RM31 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Jerald Gomez yang mewakili isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo hari ini yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid, mewakili kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hakim itu kemudian menetapkan 8 Dis ini untuk pendengaran permohonan tersebut.
Terdahulu, Nurul Farhana memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan kerana baru menerima notis permohonan itu semalam.

Pada 5 Nov lepas, Hakim Su membenarkan saman difailkan Liew dan mengarahkan kerajaan dan PDRM mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun pemegang amanah sehingga keberadaan Koh dikenal pasti atau didedahkan.
Wang itu membabitkan ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari dari 13 Feb 2017 (tarikh Koh diculik) sehingga keberadaan Koh didedahkan, ganti rugi RM1 juta dan ganti rugi teladan RM1 juta.
Dalam dokumen yang difailkan Liew pada 28 Nov lepas, pemohon turut meminta agar dua institusi kewangan iaitu PB Trustee Services Berhad dan Amanah Raya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah sekiranya mahkamah tidak melantik firma guaman itu.
Menerusi afidavit sokongan, Liew, 69, berkata beliau dengan persetujuan bersama tiga anaknya, Jonathan Koh Szu Hao, 41, Esther Koh Sze Ern, 40, dan Elizabeth Koh Sze Wei, 29, memohon agar mahkamah melantik Tetuan Jerald Gomez sebagai pemegang amanah untuk memegang akaun amanah yang menjana faedah.
"Tetuan Jerald Gomez & Associates telah mewakili saya dan keluarga sejak 2017 ketika prosiding inkuiri Suhakam membabitkan kehilangan suami sehingga kini, secara pro bono," katanya yang memaklumkan firma itu telah wujud sejak 1991 iaitu lebih daripada 30 tahun.
Liew memfailkan saman itu terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya dan cara pihak berkuasa menyiasat kes terbabit.
Koh dilapor diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, pada 13 Feb 2017.





