Cadangan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial disifatkan sebagai langkah pencegahan yang mempunyai justifikasi munasabah berdasarkan prinsip tanggungjawab melindungi golongan bawah umur, menurut seorang pengamal undang-undang.
Peguam, Zulaikha Mat Zin berkata langkah itu wajar dilaksanakan memandangkan kanak-kanak dan remaja bawah umur amat terdedah kepada risiko jenayah siber seperti pemerasan seksual serta buli siber.
Beliau berkata Malaysia sebenarnya mempunyai kerangka perundangan yang komprehensif bagi menangani isu berkenaan termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keterangan 1950 berkaitan aspek pembuktian digital.
“Bagaimanapun, melihat kepada skala rampasan sehingga 500,000 fail berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi Ops Cyber Guardian baru-baru ini, cabaran utama ketika ini ialah aspek penguatkuasaan serta keupayaan forensik digital.

“Ia juga melibatkan kerjasama rentas sempadan dan kepantasan platform digital dalam mengambil tindakan terhadap kandungan berbahaya,” katanya kepada Bernama.
Zulaikha berkata aspek paling kritikal dalam kes jenayah siber moden ialah memastikan integriti dan rantaian jagaan bahan bukti sentiasa terpelihara selaras dengan peruntukan di bawah Akta Keterangan 1950.
Katanya elemen pembuktian itu merangkumi proses sitaan dan pengekstrakan data yang mematuhi prosedur forensik digital, penggunaan teknik pencincangan (hashing) bagi mengesahkan ketulenan fail serta pengesahan metadata oleh pakar berkaitan.
Namun, beliau menegaskan penetapan had umur semata-mata tidak mencukupi tanpa disokong mekanisme pengesahan yang berkesan, kawalan ibu bapa serta penguatkuasaan liabiliti yang lebih tegas terhadap penyedia platform digital.
“Pada masa ini, kerangka undang-undang Malaysia berkaitan liabiliti platform digital masih berkembang dan belum seagresif negara seperti Kesatuan Eropah serta Australia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk memperkenalkan tanggungjawab statutori yang lebih ketat terhadap platform media sosial selain mempercepat mekanisme penurunan kandungan CSAM.
Zulaikha turut mencadangkan supaya pemilik platform diwajibkan membuat pelaporan mandatori serta meningkatkan hukuman terhadap sindiket jenayah siber terancang bagi memastikan ruang digital lebih selamat.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan bahawa kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial.
Berkuat kuasa 1 Jun ini, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan pengesahan umur susulan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).
Dua kod yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC).
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara dokumen yang boleh digunakan pengguna bagi tujuan pengesahan umur ialah kad pengenalan dan pasport bagi menyekat individu bawah usia 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.





